Kemalangan KD PENDEKAR milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada Ogos lalu bukan sekadar sebuah tragedi namun satu peringatan tentang realiti aset ketenteraan Malaysia yang sudah berusia.
Dengan pemilikan sebanyak 171 aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berusia lebih daripada 30 tahun, perbincangan mengenai keperluan untuk menggantikan peralatan usang ini semakin mendesak.
Menurut Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Tentera Darat Malaysia (TDM) memiliki sebanyak 108 unit aset yang berusia lebih dari tiga dekad, manakala Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan TLDM, masing-masing mempunyai 29 serta 34 unit aset.
Ini menjadikan kesemua aset ketenteraan dimiliki ATM tersebut sudah berkhidmat sebelum tahun 1994 lagi.
Oleh yang demikian, persoalan yang sering timbul ialah sejauh mana usia peralatan memberi kesan kepada keberkesanan operasi ketenteraan Malaysia.
Walaupun peralatan lama boleh diselenggara dengan baik, hakikatnya, teknologi ketenteraan berkembang dengan pesat sekali gus menjadikan ancaman yang dihadapi negara kini jauh berbeza berbanding 30 tahun lalu.
Dalam era yang semakin mencabar dengan krisis Timur Tengah, Ketegangan di Laut China Selatan, ancaman seperti perang siber, serangan dron dan penggunaan kecerdasan buatan (AI), kesiapsiagaan jentera ketenteraan moden diperlukan bagi mengekalkan hubungan diplomatik yang stabil di rantau dan di peringkat global.
Justeru, aset-aset usang berisiko tinggi untuk mengalami kerosakan atau kegagalan ketika menjalankan operasi, terutamanya dalam situasi berisiko tinggi perlu diganti atau dinaik taraf sehingga mencapai prosedur operasi standard yang digariskan.
Mengulas lanjut, menurut penganalisis pertahanan, usia peralatan melebihi 30 tahun bukan sahaja meningkatkan risiko kerosakan semasa operasi kritikal, tetapi juga menimbulkan kebimbangan terhadap kos penyelenggaraan yang tinggi.
Ada yang berpendapat, daripada menggantikan sepenuhnya aset usang, ATM boleh mengambil pendekatan memodenkan peralatan lama dengan teknologi terkini. Contohnya, sistem radar atau sistem komunikasi pada aset lama boleh dinaik taraf dengan teknologi yang lebih moden untuk memastikan ATM tidak terjejas.
Namun, perlu diingatkan, pemodenan peralatan lama mungkin tidak mencukupi kerana beberapa aset berkemungkinan besar sudah terlalu usang dan menelan kos yang lebih tinggi untuk dinaik taraf berbanding pembelian jentera baharu.
Melalui Belanjawan 2025 baru-baru ini, Kerajaan telah memperuntukkan RM5.8 bilion khusus untuk penyelenggaraan dan pemerolehan aset baru bagi ATM.
Meskipun begitu, peruntukan ini pasti belum mencukupi untuk menggantikan 171 aset yang sudah melebihi usia 30 tahun serentak susulan kos bagi memperoleh teknologi pertahanan terkini bukanlah murah.
Sebagai contoh, kapal selam, sistem pertahanan udara atau peralatan elektronik moden boleh menelan belanja yang tinggi, dan peruntukan ini mungkin hanya dapat menampung sebahagian kecil daripada keperluan keseluruhan.
Jelaslah, kemalangan KD PENDEKAR ini membuka ruang refleksi yang lebih mendalam, bukan hanya mengenai aset usang namun kesediaan Malaysia untuk melabur dalam teknologi ketenteraan yang lebih canggih bagi menghadapi ancaman masa kini yang semakin rumit.
