KUALA LUMPUR, 14 OKT – Penyertaan Malaysia dalam kumpulan BRICS, yang merangkumi Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan, merupakan langkah strategik bagi memperkukuhkan kedudukan negara dalam perniagaan antarabangsa, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Jelasnya, kerjasama ini memberi tumpuan utama kepada pengembangan pasaran eksport dan mengurangkan kebergantungan Malaysia kepada negara dagang sedia ada.
“Ini adalah sebahagian daripada strategi untuk mempelbagaikan kebergantungan dagangan Malaysia daripada negara-negara dagang trasisional,” kata Senator Tengku Zafrul.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berhubung peranan Malaysia dalam kerjasama BRICS pada Isnin.
Jelasnya lagi, penyertaan dalam BRICS memberi peluang kepada syarikat tempatan untuk menembusi pasaran-pasaran baru yang masih belum diteroka dan tidak terhad kepada perdagangan bersama ASEAN.
Mengulas lanjut, selain BRICS, Malaysia juga bersedia untuk mengadakan rundingan semula perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan Kesatuan Eropah (EU) bagi menyelesaikan isu-isu yang tergendala sejak rundingan terakhir pada 2012.
Rundingan ini penting untuk memastikan akses pasaran yang mudah dan lebih baik bagi produk Malaysia terutamanya sawit yang sebelum ini menghadapi halangan akibat dasar kelestarian EU yang membantutkan eksport negara.
Selain itu, dalam konteks geopolitik, beliau juga memberi jaminan bahawa ketegangan global, termasuk konflik Rusia-Ukraine serta krisis di Timur Tengah tidak akan memberi kesan ketara kepada perdagangan dan ekonomi Malaysia buat masa ini.
“Rusia dan Ukraine bukanlah rakan dagang utama negara dengan perdagangan dua hala Malaysia dengan kedua-dua negara tahun lepas membentuk hanya 0.5 peratus daripada jumlah perdagangan antarabangsa negara. Nilai perdagangan dengan negara Timur Tengah individu juga rendah”, tambahnya.
