BEIRUT, 2 OKT – Hizbullah secara rasmi telah melancarkan serangan darat ke atas Israel Defence Force (IDF) di bandar Al-Odaisseh, Lubnan.
Hizbullah dalam satu kenyataan berkata, tenteranya telah memulakan pertempuran dengan pasukan infantri musuh yang cuba menyusup ke bandar Al-Adisa dari arah Khallet Al-Mahafer.
“Tindakan IDF itu menyebabkan kerugian besar kepada Israel dan memaksa mereka untuk berundur dari kawasan itu” katanya pada Rabu.
Susulan serangan itu, helikopter IDF dilihat cuba memindahkan tentera IDF yang cedera selepas diserang hendap oleh Hizbullah ketika cuba menyusup ke selatan Lubnan berhampiran “Misgav Am” ke bandar Al-Odaisseh.
Dalam pada itu, IDF menyeru rakyat Lubnan di dua dozen kampung di selatan Lubnan supaya segera berpindah.
Jurucakap bahasa arab IDF, Kolonel Avichay Adraee berkata, aktiviti Hizbullah telah memaksa IDF untuk bertindak menentangnya dan IDF tidak mahu membahayakan rakyat Lubnan.
“Untuk keselamatan anda, anda mesti mengosongkan rumah anda dengan segera. Sesiapa yang berada berhampiran koperasi Hizbullah, kemudahan mereka atau senjata mereka, maka anda hanya akan meletakkan diri anda dalam bahaya,” katanya.
Adraee mengatakan bahawa mana-mana rumah yang digunakan oleh Hizbullah untuk tujuan ketenteraan adalah sasaran.
“Orang awam Lubnan dipanggil untuk berpindah dan menuju ke utara.
“Perhatian, jangan bergerak ke selatan! Sebarang pergerakan ke selatan boleh membahayakan nyawa anda,” kata kenyataan itu.
Israel turut memaklumkan bahawa IDF akan memaklumkan kepada orang awam waktu mereka boleh kembali ke rumah masing-masing.
Semalam, IDF mengeluarkan arahan yang sama kepada 28 kampung lain di selatan Lubnan.
Tentera juga telah memberi amaran terhadap sebarang pergerakan dalam kenderaan dari utara Sungai Litani ke selatan.
Tentera telah menyifatkan operasi darat di selatan Lubnan sebagai “serbuan terhad”, setempat dan disasarkan dengan matlamat untuk merobohkan infrastruktur Hizbullah di kawasan sempadan. -airtimes.my