Home Semasa Cadangan pinda atau gubal akta baharu tangani buli siber dibawa ke kabinet – Fahmi

Cadangan pinda atau gubal akta baharu tangani buli siber dibawa ke kabinet – Fahmi

by Bernama

KUALA LUMPUR, 11 JUL – Kementerian Komunikasi dijadual membawa cadangan untuk menggubal akta baharu atau meminda undang-undang sedia ada bagi menangani gejala buli siber ke Mesyuarat Kabinet esok.

Menterinya Fahmi Fadzil berkata ia sebagai usaha untuk menjadikan platform media sosial lebih selamat selain menangani gejala buli siber dalam kalangan pengguna medium itu.

“Kita akan maklumkan kepada mesyurat jemaah Menteri esok tentang langkah perundangan yang boleh diambil sekarang, sama ada dengan menggubal satu akta yang baharu ataupun meminda akta sedia ada.

“Sidang Parlimen ada lebih kurang seminggu lagi, jadi kita ada masa sekiranya Kabinet merasakan ada keperluan (bentang rang undang-undang) untuk kita bertindak segera,” katanya dalam sesi bersama media di Bangunan Parlimen, di sini hari ini.

Baru-baru ini seorang wanita yang juga pempengaruh media sosial dikatakan membunuh diri selepas menjadi mangsa buli siber di Gombak Setia, Selangor.

Fahmi berkata cadangan itu adalah antara hasil mesyuarat dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undangundang) Datuk Seri Azalina Othman Said bersama Timbalan Menteri Digital Datuk Wilson Ugak Kumbong, serta wakil Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Peguam Negara semalam.

Selain itu dalam aspek pengurusan, beliau berkata adalah penting untuk menentukan sama ada sesuatu tindakan itu boleh ditakrifkan sebagai buli siber, dan langkah pencegahan yang boleh dilakukan.

“Ada yang berpandangan, kalau menteri, ahli Parlimen, ahli politik selalu (dilihat) kena ‘buli siber’.. tapi mereka tidak buat aduan, dan ada juga merasakan ia (buli siber) benda yang remeh.. saya rasa kita perlu buat satu ketetapan (draw a line). Jadi aspek takrifan itu pun akan diberi perhatian,” katanya.

Fahmi berkata aspek urusan pentadbiran antara pegawai penyiasat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga perlu diselaras dalam beberapa perkara termasuk aduan berkaitan buli siber.

Beliau berkata Kementerian Komunikasi juga akan melancarkan program jerayawara keselamatan dalam talian dalam masa terdekat bagi meningkatkan kesedaran masyarakat di peringkat sekolah dan komuniti mengenai kesan buruk Internet.

Program itu juga bertujuan menerangkan secara holistik tentang bahaya penggunaan Internet termasuk boleh menyebabkan perbuatan buli siber, scammer atau penipuan, keselamatan siber, selain cara melindungi data peribadi dan manfaat platform itu. – BERNAMA

#semasa #siber #komunikasi

Related Articles

Leave a Reply