Home Semasa Hasrat Malaysia sertai BRICS bukan untuk campuri urusan negara terlibat – PM

Hasrat Malaysia sertai BRICS bukan untuk campuri urusan negara terlibat – PM

by Bernama

KUALA LUMPUR, 9 Jul – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata hasrat Malaysia untuk menyertai organisasi antara kerajaan, BRICS (Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan) bukan untuk mencampuri urusan domestik atau politik negara terlibat.

Sebaliknya, beliau berkata Malaysia lebih menekankan keutamaan kepada aspek perdagangan, ekonomi serta perluasan jaringan yang dapat memberikan manfaat kepada negara dan rakyat terutamanya pedagang, peniaga dan pelabur.

Anwar berkata dalam hubungan Malaysia dengan negara luar termasuk negara barat serta yang terlibat dalam Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), Malaysia tidak sepenuhnya bersetuju dalam semua hal.

“Malah, ada pertentangan dan perbezaan besar kita dalam isu Gaza umpamanya, isu negara berkembang, isu persaingan perdagangan dalam Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), tapi itu tak menyebabkan kita harus memutuskan perhubungan terutama bila keutamaan itu adalah perdagangan,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Anwar menjawab soalan tambahan Datuk Seri Doris Sophia Brodi (GPS-Sri Aman) yang ingin tahu sama ada kerajaan telah meneliti implikasi Malaysia apabila menyertai BRICS memandangkan negara anggotanya mempunyai latar belakang ekonomi, politik dan sosial yang agak berbeza dengan Malaysia.

Perdana Menteri berkata dalam soal BRICS, negara seperti China dan Rusia menjalin hubungan dan kerjasama yang rapat dengan Malaysia walaupun kedua-duanya mempunyai sistem negara yang berbeza dengan negara ini.

“…tetapi ada juga negara-negara yang dalam BRICS termasuk Afrika Selatan atau India yang mengamalkan sistem demokrasi yang lebih dekat dengan kita dan ini juga tidak menghalang hubungan mereka dengan kita dalam BRICS.

“Di samping itu, negara seperti UAE (Emiriyah Arab Bersatu), India dan Afrika Selatan itu juga mempunyai hubungan dagang yang baik, dan kerjasama ekonomi umpamanya dengan Eropah, Amerika Syarikat dengan negara yang tidak bersama dalam BRICS,” kata Anwar.

Justeru beliau berkata tidak ada sebab mengapa Malaysia dan beberapa negara ASEAN yang telah memohon untuk menyertai BRICS berasa bimbang kerana ketetapan utama adalah untuk tujuan perdagangan.

Selain itu, Anwar berkata kerajaan juga telah mengkaji dan meneliti kemungkinan implikasi Malaysia menyertai BRICS.

BRICS ditubuhkan pada 2009 sebagai platform kerjasama untuk ekonomi yang sedang pesat membangun merangkumi Brazil, Rusia, India dan China dengan Afrika Selatan menyertai kumpulan itu pada 2010.

Pada Januari 2024 pula, Iran, Mesir, Ethiopia, dan UAE menyertai organisasi itu sebagai ahli baharu.- Bernama

#semasa #Malaysia #BRICS #airtimes

Related Articles

Leave a Reply