Home Semasa Subsidi tidak dihapuskan, kita mahu pastikan pengurusan yang cekap – Anwar

Subsidi tidak dihapuskan, kita mahu pastikan pengurusan yang cekap – Anwar

by M.Daim

PUTRAJAYA, 17 JUN – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menegaskan bahawa subsidi tidak dihapuskan oleh kerajaan.

Menurut beliau, kerajaan sedang berusaha untuk memastikan pengurusan subsidi lebih cekap, tidak tiris dan sampai ke kumpulan rakyat yang layak.

“Tujuan utama dalam dasar penyasaran subsidi diesel ini adalah memastikan pembaziran subsidi tidak lagi diteruskan sambil memastikan penjimatan mesti dipulangkan kepada rakyat terbanyak,

“Hasil penjimatan daripada penyasaran subsidi ini tentunya akan dikembalikan kepada rakyat dalam bentuk pendidikan, kesihatan, pengangkutan awam dan lain-lain sektor yang memberi dampak terbesar kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada hari ini.

Dalam kenyataan yang sama, Perdana Menteri menyatakan Ops Tiris yang dilancarkan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri semenjak 1 Mac 2023 lalu menunjukkan minyak diesel yang bersubsidi adalah barangan kawalan tertinggi diseludup dan diseleweng.

Jelasnya, sebanyak 6.4 juta liter diesel yang bernilai RM 14.2 juta telah dirampas pada tahun 2023.

Kerajaan telah melancarkan Ops Tiris 3.0 dengan skop yang diperluas dengan merangkumi barang-barang kawalan yang lain termasuk gula, minyak masak polibeg, petrol RON95 dan gas petroleum cecair.

“Sehingga 14 Jun 2024, sejumlah RM12,956,089.96 nilai barang kawalan telah dirampas dengan diesel menjadi barangan kawalan yang tertinggi yang diseludup dan diseleweng,

“Lantaran itu, Kerajaan Madani akan kekal komited menangani penyeludupan diesel sambil berusaha mengimbanginya dengan perihal bekalan dan kos sara hidup rakyat,” kata Anwar Ibrahim. – airtimes.my

#AirTimes #Malaysia #Semasa

Related Articles

Leave a Reply