Home Semasa Sindiket kontena terbang : 11 pegawai Kastam antara 17 ditahan, SPRM rampas duit RM4.4 juta

Sindiket kontena terbang : 11 pegawai Kastam antara 17 ditahan, SPRM rampas duit RM4.4 juta

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 13 Jun – 11 pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) antara 17 individu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes rasuah yang melibatkan ketirisan dianggarkan RM3.5 bilion di Pelabuhan Klang.

Difahamkan, antara yang turut ditahan dan dikenal pasti ialah 6 pengarah syarikat serta pekerja termasuk seorang ‘runner’ bersama kekasihnya.

Menurut sumber, hasil siasatan SPRM juga berjaya merampas wang tunai berjumlah RM4.4 juta dipercayai diperoleh secara rasuah oleh pegawai kastam terlibat.

“Ini tidak termasuk 4 buah motosikal Yamaha XMAX bernilai RM28,000.00, sebuah kenderaan Alphard bernilai lebih RM200,000, sebuah kereta BMW terpakai,

“Selain itu, barang-barang kemas, jam tangan mewah dan sebidang lot tanah yang kesemuanya dibeli secara tunai,

“Kesemua barang sitaan adalah sebahagian daripada hasil rasuah yang dapat dikesan SPRM setakat ini,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Dalam masa yang sama, sebanyak 12 akaun syarikat dan individu telah dibekukan dengan anggaran nilai berjumlah RM2 juta.

SPRM juga dalam proses mengesan akaun-akaun lain yang dipercayai digunakan oleh suspek-suspek sindiket ini

Sebelum ini, media melaporkan beberapa individu termasuk pegawai kastam ditahan melalui Op Transit selepas disyaki terbabit dalam kes berkenaan yang bergiat aktif di Pelabuhan Klang.

SPRM dengan kerjasama JKDM juga telah memeriksa kesemua 19 kontena yang disita. Hasil pemeriksaan, sindiket ini telah membuat pengisytiharan palsu dengan mengisytiharkan barangan seperti wheel chair, tandas duduk, tekstil dan peralatan kesihatan yang tidak bercukai.

Namun hasil pemeriksaan yang dibuat mendapati kesemua kontena terbabit mengandungi pelbagai jenis barangan lain termasuk lampu LED, papan panel solar, lampu solar, peralatan aksesori motosikal, sport rims, kenderaan, part kenderaan, pakaian, teh cina, daging babi proses dalam tin dan sebagainya.

Nilai anggaran keseluruhan 19 kontena tersebut termasuk cukai yang perlu dibayar dipercayai mencecah jutaan ringgit.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki pula dilaporkan berkata, beliau telah mengarahkan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya untuk mendedahkan penemuan wang tersebut.

“Hari ini beliau akan menunjukkan tentang wang yang nilainya begitu besar di kalangan beberapa pegawai terlibat,” ujarnya.

Azam berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis pelancaran buku ‘The Sin of Corruption: A Religious Perspective’ oleh Transparency International Malaysia (TI-Malaysia) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Khamis.
Sementara itu, Ahmad Khusairi ketika dilaporkan telah mengesahkan penahanan berkenaan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 17 (b), Seksyen 16 (a) Akta SPRM 2009 dan Akta AMLATFPUAA 2001.

“Tindakan mengesan dalang utama sindiket sedang giat dijalankan melalui kerjasama agensi luar negara,” jelas beliau lagi.-airtime.my

#semasa #airtimes #rasuah #KASTAM #SPRM #malaysia

Related Articles

Leave a Reply