Home Semasa KPT arah UM batalkan penceramah asing cetus kontroversi, sensitiviti masyarakat

KPT arah UM batalkan penceramah asing cetus kontroversi, sensitiviti masyarakat

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 25 Apr – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengarahkan Universiti Malaya (UM) untuk membatalkan sebarang program dan aktiviti yang dijadual dihadiri profesor yang dipercayai pro-Israel, Bruce Gilley sebagai penceramah jemputan ke universiti berkenaan.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, beliau turut meminta UM untuk menyiasat perkara ini dan melaporkan segera butiran lanjut.

“Pihak kementerian mengambil maklum dan memandang serius berhubung isu yang berlaku berhubung tindakan seorang penceramah warga asing mengeluarkan kenyataan yang dilihat mencetuskan kontroversi dan tidak menghormati sentimen masyarakat seperti tular di media sosial,

“Susulan itu, saya sudah mengarahkan sebarang program dan aktiviti yang dijadual dihadiri penceramah berkenaan dibatalkan segera,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Dalam masa yang sama, Zambry turut mengingatkan, setiap agensi dan institusi di bawah KPT supaya peka, berhati-hati dan membuat semakan latar belakang dengan teliti sebelum menjemput mana-mana individu atau pihak ke majlis serta program yang dianjurkan.

Tegasnya, setiap keputusan yang diambil perlu mengambil kira sensitiviti dan selari dengan dasar serta pendirian kerajaan.

“Walaupun IPT diberi autonomi untuk memutuskan program-program intelektual, tetapi itu bukan bermakna institusi bebas secara mutlak sehingga tidak mengambil kira sensitiviti masyarakat dan majoriti rakyat Malaysia,” ujarnya lagi.

Terdahulu, tindakan UM yang menjemput seorang profesor pro-Zionis dari Amerika Syarikat menerima kecaman ramai selepas ucapan beliau menuduh ahli politik Malaysia yang menyokong perjuangan Palestin sebagai penyebar kebencian terhadap Yahudi.

Bruce Gilley, profesor sains politik yang pernah menimbulkan kontroversi kerana mendokong tindakan kuasa Barat menjajah negara lain, berkata ahli politik Malaysia mahukan “Holocaust kedua”, atau pembunuhan ramai-ramai terhadap bangsa Yahudi.

Gilley turut menyerang bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad. -airtimes.my

#Malaysia #semasa #UM #KPT #airtimes

Related Articles

Leave a Reply