Home Semasa Ancaman dari ketegangan di sempadan Lubnan adalah nyata – UNIFIL

Ancaman dari ketegangan di sempadan Lubnan adalah nyata – UNIFIL

by Nurulhuda

BEIRUT, 11 APR – Komander United Nations Interim Force in Lebanon (UNIFIL), Leftenan Jeneral Aroldo Lázaro Sáenz menegaskan ketegangan di kawasan sempadan Lubnan semenjak akhir-akhir ini amat membimbangkan.

Menurut beliau, keadaan semasa di kawasan itu sememangnya membawa ancaman tersendiri.

Aroldo menyatakan perkara tersebut dalam satu hantaran di akaun media sosial rasmi UNIFIL bersempena Hari Raya Aidilfitri.

“Bahaya dari ketegangan yang berlaku adalah jelas dan nyata. Tiada penyelesaian ketenteraan yang digunapakai untuk konfrontasi dan keganasan yang berlaku,

“Penyelesaian hanya boleh dilakukan melalui jalan politik dan diplomasi,” katanya.

Menurut beliau, pihak UNIFIL menggesa keamanan di Selatan Lubnan dipulihkan dan membawa kepada gencatan senjata serta penyelesaian konflik pada jangka masa yang panjang.

“Hampir 50 buah negara terlibat dalam operasi pengaman di Selatan Lubnan. Ia dilakukan dengan bersandarkan komitmen, persahabatan dan kepercayaan bahawa keamanan yang berpanjangan mampu dicapai di rantau ini,

“Lebih 46 tahun, kami telah membina hubungan yang baik dengan komuniti tempatan,” ujar Komander UNIFIL.

Beliau menjelaskan, pihak UNIFIL telah menggesa semua pihak untuk mematuhi Resolusi 1701 Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Pihak UNIFIL turut meneruskan operasi mereka seperti biasa dan bermatlamat untuk mengurangkan ketegangan di Selatan Lubnan.

Aroldo menambah, UNIFIL telah melaksanakan pelbagai misi termasuk perubatan, pergigian dan khidmat doktor haiwan kepada penduduk di selatan Lubnan.

“UNIFIL turut membekalkan tenaga solar kepada kawasan tempat tinggal, pertahanan awam, sekolah,

“Selain itu, pelbagai peralatan telah didermakan kepada institusi pendidikan, hospital, petugas perubatan dan pelbagai projek lain,

“Kami akan terus berada di sini untuk masyarakat setempa dan terus mendukung keamanan – selama ia diperlukan,” katanya. – airtimes.my

#AirTimes #Malaysia #Global #UNIFIL

Related Articles

Leave a Reply