KUALA LUMPUR, 10 APR – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru rakyat Malaysia agar tidak melupakan penderitaan rakyat Palestin dalam keriangan menyambut Aidilfitri hari ini.
“Dalam menyambut kemenangan kita dalam kegembiraan, mari kita titipkan doa buat saudara kita di Palestin. Semoga Allah sentiasa melindungi mereka dan kurniakan mereka kekuatan dalam menghadapi ujian ini,” katanya dalam hantaran di akaun Facebook beliau hari ini.
Ahmad Zahid juga menyeru rakyat agar memanfaatkan Aidilfitri sebagai platform bagi mengukuhkan perpaduan dan membentuk kebersamaan tanpa mengira agama dan kaum.
“Sudah semestinya amalan kunjung-mengunjung, bermaaf-maafan dan mendoakan antara satu sama lain serta merapatkan ukhuwah menjadi agenda utama setiap kali tibanya Aidilfitri.
“Inilah juga masanya untuk kita mengekalkan semangat perpaduan sesama kita,” katanya.
Beliau seterusnya menasihati mereka yang memandu untuk pulang ke kampung atau memulakan perjalanan bagi menziarahi sanak saudara atau sahabat pada musim perayaan ini agar sentiasa mengamalkan pemanduan berhemah dan menjaga keselamatan diri. – BERNAMA
#Semasa #HariRaya