Home SemasaGlobal Israel berkeras mahu gempur Rafah, tarikh operasi sudah ditetapkan

Israel berkeras mahu gempur Rafah, tarikh operasi sudah ditetapkan

by M.Daim

KAHERAH, 9 APR – Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menyatakan pihaknya telah menetapkan tarikh operasi terhadap Rafah.

Rafah merupakan kawasan terakhir menjadi tempat perlindungan warga Palestin terperangkap dalam siri konflik bersenjata yang berlarutan semenjak 7 Oktober 2023.

Menurut pemimpin Israel itu, operasi ketenteraan terhadap Rafah dianggap ‘penting dan mustahak’ dalam memerangi Hamas.

“Kemenangan ini memerlukan kemasukan ke Rafah dan menghapuskan Hamas. Ia akan berlaku – tarikh sudah ditetapkan,” kata Netanyahu menurut laporan media antarabangsa.

Israel sebelum ini menarik keluar pasukan tenteranya dari Khan Younis kecuali satu briged.

Pun begitu, penarikan keluar ketumbukan tentera Israel tidak menandakan operasi di Gaza tamat. Tetapi ia sebagai persiapan kepada operasi baharu di Rafah, yang terletak di sempadan Gaza-Mesir.

Rafah menjadi perlindungan seramai 1.5 juta pelarian.

Sementara itu, Associated Press memetik sumber tentera Israel yang menyatakan Tel Aviv telah membeli 40 ribu khemah. Khemah tersebut akan digunakan oleh pelarian Palestin yang dibawa keluar dari Rafah.

Israel telah melakukan perancangan untuk membawa keluar pelarian dari Rafah sebelum melancarkan operasi ofensif terhadap bandar itu.

Tel Aviv turut mendakwa Rafah menjadi kubu terakhir Hamas.

Rafah sebelum ini menjadi tumpuan semenjak beberapa bulan lalu selepas Israel menyuarakan hasrat mereka untuk menggempur bandar tersebut. Rancangan ofensif terhadap Rafah mendapat tentangan dari komuniti antarabangsa termasuk Amerika Syarikat yang menganggap sebarang serangan terhadap bandar itu adalah satu kesilapan besar.

Sementara itu, di Washington, jurucakap Keselamatan Negara Rumah Putih Amerika Syarikat John Kirby menyatakan pihaknya tidak melihat operasi ketenteraan terhadap Rafah akan dilakukan oleh Israel dalam masa terdekat.

“Kami secara konsisten menjelaskan bahawa Amerika Syarikat tidak akan menyokong serang darat skala besar terhadap Rafah,

“Saya ingin menyatakan bahawa kami tidak melihat operasi ini akan dilaksanakan dalam masa terdekat atau tentera Israel sedang mengubah kedudukan mereka untuk melakukan perkara tersebut,” kata Kirby semasa sidang media.

Pada ketika ini, rundingan gencatan senjata masih lagi dilaksanakan di Kaherah. Pun begitu, proses rundingan tersebut menjadi tanda tanya apabila terdapat banyak laporan bercanggah berhubung perkara tersebut.

Namun begitu, tempoh 48 jam selanjutnya merupakan jangka masa kritikal bagi melihat sama ada kata putus akan dicapai atau sebaliknya.

Pada masa yang sama, Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan seramai 33,207 warga Palestin terkorban dan 75,933 lagi cedera semenjak konflik tercetus pada 7 Oktober lalu.– airtimes.my

#AirTimes #Malaysia #Global

Related Articles

Leave a Reply