Home Pertahanan dan Keselamatan Soal keselamatan Sabah, LTAT dan kenderaan tempur MALBATT diajukan kepada Menteri Pertahanan

Soal keselamatan Sabah, LTAT dan kenderaan tempur MALBATT diajukan kepada Menteri Pertahanan

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 4 MAC – Isu keselamatan eksplorasi di perairan Sabah menjadi antara soalan yang diajukan kepada pihak Kementerian Pertahanan Malaysia pada hari ini.

Soalan yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Kudat, Dato’ Verdon Bahanda turut meminta pihak kerajaan untuk menyatakan tahap kawalan keselamatan di kawasan perairan Negeri Di Bawah Bayu.

“Minta Menteri Pertahanan menyatakan kekerapan kawalan keselamatan dan aset pertahanan mengawal keselamatan di perairan utara-timur Sabah untuk meningkatkan keyakinan pelabur, laluan perdagangan, kawalan penyeludupan dan aktiviti haram serta jaminan keselamatan bagi eksplorasi di perairan Malaysia bahagian Sabah,” kata Verdon dalam Aturan Urusan Mesyuarat bagi Sesi Soal Jawab Lisan bagi 4 Mac 2024.

Isu keselamatan Sabah merupakan antara persoalan yang kerap dibangkitkan di Dewan Rakyat semenjak beberapa tahun lalu. Ini terutamanya dengan melihat peristiwa Lahad Datu 2013 yang masih lagi ‘berdarah’ walaupun kejadian itu telah lama berlalu.

Tambahan pula, cubaan rampasan aset kerajaan khususnya milik syarikat Petronas di luar negara merupakan antara kejadian yang berkaitan dengan isu kedaulatan negara serta Sabah.

Selain daripada itu, persoalan yang dibangkitkan oleh Verdon dilihat mempunyai kaitan dengan jawapan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berhubung isu perolehan kumpulan kedua Kapal Misi Pesisir (Littoral Mission Ship Batch 2, LMSB2).

Jawapan bertulis oleh Khaled kepada soalan yang dibangkit oleh Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai secara jelas menyatakan keperluan perolehan kapal LMSB2 adalah didorong dengan perkembangan semasa di Laut China Selatan.

Ini termasuklah isu pencerobohan oleh Pasukan Pengawal Pantai China (CCG) dan juga komposisi kekuatan Armada Timur Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

“Faktor utama adalah peningkatan berterusan ancaman semasa, terutama terhadap kepentingan strategik maritim negara di Sabah dan Sarawak,

“Sejak 8 tahun yang lalu, berlaku peningkatan ketara kehadiran kapal perang asing berikutan insiden eksplorasi di perairan Sarawak,

“Kapal-kapal CCG berterusan menceroboh perairan Zon Maritim Malaysia (ZMM), manakala jumlah kapal TLDM yang ditugaskan adalah tidak seimbang dengan jumlah pencerobohan tersebut,

“Perkara ini menjejaskan keupayaan TLDM mempertahankan kedaulatan negara sewaktu operasi maritim dilaksanakan.

“Faktor seterusnya adalah keperluan mengimbangi keupayaan aset kombatan sedia ada,

“Daripada jumlah keseluruhan aset TLDM, kapal berkeupayaan kombatan hanya berada di Armada Barat sahaja,

“Kapal-kapal di Armada Timur hanya terhad kepada keupayaan rondaan tanpa mempunyai kemampuan peperangan tiga dimensi iaitu Anti Permukaan, Anti Udara dan Anti Kapal Selam,” kata Menteri Pertahanan dalam Jawapan pada 27 Februari 2024.

Soalan yang diajukan oleh Ahli Parlimen Kudat merupakan soalan ke-11 untuk Sesi Jawab Lisan di Dewan Rakyat untuk hari ini.

Melihat kepada beberapa hari sesi persidangan yang dilaksanakan semenjak 26 Februari lalu, sebanyak 8 dan 9 soalan akan mendapat maklum balas secara lisan di Dewan Rakyat. Air Times menjangkakan soalan mengenai Sabah akan dijawab secara bertulis oleh Menteri Pertahanan.

Begitu juga 3 soalan lain yang diajukan oleh Sim Tze Tzin (Bayan Baru), Dato’ Khlir Mohd Nor (Ketereh), dan juga bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Dato’ Sri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah).

Ketiga-tiga soalan ini pula memberikan fokus kepada Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan rancangan pelupusan aset pasukan pengaman MALBATT.

Halatuju LTAT dan status Rancangan Strategik MAMPAN antara perkara yang dibangkitkan dalam soalan di Parlimen. Foto: LTAT

Lembaga Tabung Angkatan Tentera

Wakil rakyat Bayan Baru dan Ketereh kedua-duanya membangkitkan isu berkaitan LTAT terutamanya selepas peletakan oleh Ketua Eksekutif (CEO) lembaga tabung itu pada 31 Januari 2021.

“Minta Menteri Pertahanan menyatakan hala tuju Pelan Tindakan Strategik LTAT MAMPAN25 selepas pertukaran Menteri Pertahanan dan perletakkan jawatan CEO LTAT Datuk Ahmad Nazim,” kata Tze Tzin dalam soalan ke-39.

Sementara itu, wakil rakyat Ketereh meminta Menteri Pertahanan untuk menyatakan “apakah langkah-langkah yang telah diambil oleh Kementerian dalam menentukan individu-individu yang mencuri duit rakyat dalam projek-projek melibatkan anak-anak Syarikat LTAT dibawa ke muka pengadilan”.

Persoalan mengenai LTAT pertama kali dibangkitkan pada 27 Februari lalu oleh Khlir selepas peletakan jawatan 3 orang kanan LTAT dalam tempoh sebulan. Selain Ahmad Nazim, turut meletak jawatan adalah Pengerusi LTAT,  Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor (Bersara) pada 8 Februari dan diikuti oleh Pengarah Kanan Strategi LTAT, Dayana Rogayah Omar pada pertengahan bulan yang sama.

Peletakan ketiga-tiga orang kanan LTAT sudah tentu membawa persoalan yang tersendiri – adakah berlaku krisis dalaman atau sebaliknya?

Selain itu, persoalan mengenai siapa yang akan meneraju LTAT pada ketika ini turut dibangkitkan pada sidang Dewan Rakyat pada minggu lalu.

Menteri Pertahanan dalam sesi jawab lisan pada 27 Februari lalu menyatakan peletakan jawatan 3 orang kanan tidak akan jejaskan LTAT.

“Bagi pihak Kementerian Pertahanan serta Lembaga Tabung Angkatan Tentera, saya memberi jaminan bahawa peletakan jawatan tersebut tidak akan memberi impak yang mengganggu operasi, perjalanan serta perkhidmatan LTAT,

“Sebaliknya, LTAT bergerak dan beroperasi seperti biasa. Sebagai langkah susulan, jawatan Ketua Eksekutif yang kosong, kini ditanggung oleh Encik Mohammad Ashraf Md. Radzi, Ketua Pegawai Kewangan sebagai tanggung tugas Ketua Eksekutif, berkuat kuasa serta-merta,” kata Menteri Pertahanan.

Beliau menambah, calon-calon berkredibiliti untuk mengisi kekosongan jawatan penting sedang diteliti pada ketika ini.

Menyentuh Pelan Strategik 2023-2025 (MAMPAN 25) pula, Khaled menegaskan pihak Kementerian Pertahanan tidak mempunyai sebarang masalah berhubung pelaksanaan rancanga tersebut.

“Tetapi hanya kita sedang memberi perhatian yang lebih teliti dan cermat. Apabila sebahagian daripada pelan strategik ini melibatkan penstrukturan semula model perniagaan dan pegangan kepentingan LTAT,

“Ini termasuklah soal pembubaran beberapa buah syarikat dan penjualan aset-aset atau pegangan LTAT dalam pelbagai syarikat strategik,

“Jadi, yang ini kita sedang beri perhatian. Kita sedang mencari jalan menang-menang untuk semua supaya dalam kita melaksanakan pelan strategik ini, seboleh-bolehnya tidak ada mana-mana syarikat yang terjejas,

“Dan pegangan LTAT masih lagi berada pada paras yang LTAT menguasai sesuatu anak-anak syarikat itu,

“Jadi maknanya, pelaksanaan apa-apa pelan, kita tidak mahu melihat akhirnya soal kecairan LTAT itu kita dapat atasi tetapi soal dividen yang mampan sepanjang masa itu akan mendatangkan masalah kerana kita hilang kawalan atas beberapa buah syarikat,” jelas Khaled dalam sidang Dewan Rakyat pada akhir bulan lalu.

Sebanyak 9 buah IAG Guardian telah dibeli untuk kegunaan pasukan pengaman MALBATT di Lubnan. Foto: Markas Angkatan Bersama

Pelupusan aset MALBATT

 

Sementara itu, bekas Timbalan Menteri Pertahanan membangkitkan pelan pelupusan 9 buah kenderaan perisai IAG Guardian yang pernah dioperasikan oleh kontinjen pengaman MALBATT.

“Minta Menteri Pertahanan menyatakan pelan pelupusan 9 buah kenderaan perisai 4 x 4 IAG Guardian yang sebelum ini telah dibekalkan kepada Kontinjen Malbatt di Lubnan pada tahun 2018 namun tidak memenuhi spesifikasi keselamatan dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hingga menyebabkan ia terpaksa digantikan dengan kereta perisai jenis 4 x 4 Panthera dari Turkiye bermula tahun ini,” katanya dalam soalan nombor 57.

IAG Guardian sebelum ini terpalit dengan isu kontroversi pembekalan yang tidak mematuhi standard piawaian PBB. Isu perolehan kenderaan perisai ini telah didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2019.

Perolehan kenderaan perisai tersebut sebelum ini dirancang untuk menggantikan peranan RPZ Condor.

Kenderaan Panthera merupakan Ejder Yalcin 4×4 yang dihasilkan oleh syarikat pertahanan Turkiye, Nurol Makina. – airtimes.my

#AirTimes #Malaysia #Pertahanan

Related Articles

Leave a Reply