Home Pertahanan dan Keselamatan Ancaman pencerobohan China antara faktor perolehan LMSB2 perlu dilaksanakan

Ancaman pencerobohan China antara faktor perolehan LMSB2 perlu dilaksanakan

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 28 FEB – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Khaled Nordin menegaskan perolehan Kapal Misi Pesisir Kedua (LMS Batch 2) merupakan satu perolehan yang kritikal dan penting untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Menurut beliau, ancaman semasa terhadap kepentingan strategik maritim negara terutamanya di Sabah dan Sarawak kian meningkat.

Jelas Menteri Pertahanan, perkara tersebut menjadi faktor utama akan keperluan LMSB2.

TLDM memerlukan aset kombatan bagi mempertahankan kedaulatan perairan negara. Foto: TLDM

“Sejak 8 tahun yang lalu, berlaku peningkatan ketara kehadiran kapal perang asing berikutan insiden eksplorasi di perairan Sarawak,

“Kapal-kapal Pengawal Pantai China (CCG) berterusan menceroboh perairan Zon Maritim Malaysia (ZMM), manakala jumlah kapal TLDM yang ditugaskan adalah tidak seimbang dengan jumlah pencerobohan tersebut,

“Perkara ini menjejaskan keupayaan TLDM mempertahankan kedaulatan negara sewaktu operasi maritim dilaksanakan,” kata Khaled dalam jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai.

Soalan oleh wakil rakyat Cheras tersenarai sebagai soalan ke-26 untuk Sesi Pertanyaan Lisan dalam Aturan Urusan Mesyuarat Parlimen pada 27 Februari 2024.

Semalam, Air Times telah mengupas faktor-faktor yang mendorong kepada perolehan LMSB2 yang amat diperlukan oleh TLDM.

Pada masa yang sama, Khaled menegaskan perolehan LMSB2 adalah untuk mengimbangi keupayaan aset kombatan di Semenanjung Malaysia (Armada Barat) serta Sabah dan Sarawak (Armada Timur).

Jelas Menteri Pertahanan, aset Armada Timur adalah terdiri daripada kapal ronda, kapal auksiliari, kapal selam dan helikopter. Ianya amat berbeza dengan komposisi Armada Barat yang mempunyai kapal kombatan.

“Kapal-kapal di Armada Timur hanya terhad kepada keupayaan rondaan tanpa mempunyai kemampuan peperangan tiga dimensi iaitu Anti Permukaan, Anti Udara dan Anti Kapal Selam,” jelasnya.

Walaupun dilanda pelbagai tohmahan, kapal selam kelas Perdana Menteri tetap menabur bakti sebagai aset strategik TLDM di Armada Timur. Foto: TLDM

Selain daripada itu, beliau turut mengesahkan 4 buah kapal LMS pertama, kelas Keris yang ditempatkan di Armada Timur adalah “adalah bersaiz kecil, berkeupayaan sebagai Kapal Ronda sahaja dan tiada berkeupayaan kombatan”.

“LMS Batch 1 didapati kurang sesuai untuk beroperasi di lautan terbuka (open sea),

“Justeru, perolehan LMSB2 berkeupayaan kombatan adalah suatu keperluan yang kritikal bagi merapatkan jurang keupayaan kapal TLDM,

“Ini sekaligus dapat memperkukuhkan keupayaan cegah rintang Armada TLDM,” kata Khaled.

Sehingga kini, kerajaan Malaysia telah memberikan komitmen mereka untuk melaksanakan perolehan 3 buah kapal LMSB2.

Khaled sebelum ini dalam Perutusan Tahun Baharu 2024 Menteri Pertahanan menyatakan pihaknya akan memberikan fokus kepada perolehan kapal-kapal tersebut.

Sementara itu, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob menyatakan proses perolehan LMSB2 dijangka diselesaikan pada pertengahan tahun ini.  – airtimes.my

#Pertahanan #TLDM #LMS #Malaysia

Related Articles

Leave a Reply