Home Pertahanan dan Keselamatan Perolehan LMS Batch 2 untuk TLDM akan selesai sebelum pertengahan 2024

Perolehan LMS Batch 2 untuk TLDM akan selesai sebelum pertengahan 2024

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 29 JAN – Teka-teki perolehan Kapal Misi Pesisir baharu untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dijangka akan diselesaikan pada pertengahan tahun ini.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob hari ini.

Menurut beliau, Kementerian Kewangan Malaysia telah “meluluskan permohonan perolehan 3 buah Littoral Mission Ship Batch Kedua (LMSB2)”.

“Sebaik sahaja Surat Niat (LOI) dikeluarkan, Rundingan Teknikal Spesifikasi dan Klausa Kontrak akan diadakan antara TLDM dengan firma terpilih,

“TLDM menyasarkan untuk menyelesaikan semua keperluan dokumen kontrak ini sebelum pertengahan tahun ini,” katanya semasa menyampaikan Perutusan Tahun Baharu 2024 dan Setahun Pemerintahan Panglima Tentera Laut di Wisma Pertahanan.

LMS Batch 2 merupakan perolehan kedua bagi kapal misi pesisir. Di bawah Rancangan 15-to-5 TLDM, sebanyak 18 buah kapal kelas ini diperlukan oleh angkatan laut negara.

Rancangan ini menggariskan keperluan 5 kelas aset TLDM dalam mempertahankan kedaulatan perairan Malaysia. Antara kelas lain adalah Kapal Tempur Pesisir (Littoral Combat Ship, LCS), Kapal Peronda Generasi Baharu (New Generation Patrol Vessel, NGPV), Kapal Sokongan Pelbagai Misi (Multi Role Support Ship, MRSS) dan Kapal Selam.

Menyentuh LCS, Abdul Rahman menyatakan projek kapal tersebut sedang giat dilaksanakan mengikut perancangan yang disusun semula.

“TLDM dijangka menerima kapal pertama daripada 5 buah yang sedang dibina pada penghujung tahun 2026,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Panglima Tentera Laut menyatakan TLDM akan meneruskan usaha untuk pertingkat dan perkasa keupayaan armada melalui perolehan aset baharu yang lain, termasuk MRSS.

“Keperluan MRSS ini amat penting terutamanya dalam memastikan keperluan operasi logistik TLDM dan bantuan Humanitarian Assistance and Disaster Relief (HADR) di dalam negara mahupun negara serantau dapat dilaksanakan dengan berkesan,

“Saya yakin dan percaya, melalui perolehan aset baharu tersebut, TLDM semestinya mampu melaksanakan operasi dengan lebih efisien dan efektif,” kata Abdul Rahman.

Melihat kepada intipati ucapan oleh Panglima Tentera Laut, Air Times menjangkakan kontrak LMSB2 mungkin selesai semasa Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia (DSA & NATSEC Asia 2024) kelak.

Pameran ini akan berlangsung pada 6 Mei sehingga 9 Mei 2024 di MITEC, Kuala Lumpur.

TLDM sebelum ini telah menerima 4 buah LMS kelas KERIS yang dibina oleh China Shipbuilding and Offshore International Co. Ltd. Pun begitu, Panglima Tentera Laut sebelum ini menyatakan LMS tersebut didapati tidak menepati keperluan TLDM.

LMSB2 pula dilaporkan mempunyai keupayaan kombatan berbanding kapal kelas Keris.  – airtimes.my

#AirTimes #Malaysia #TLDM #Pertahanan

Related Articles

Leave a Reply