Home Pertahanan dan Keselamatan Penggempur Harimau Besi kenang pahlawan gugur dalam pertempuran Bakara Market

Penggempur Harimau Besi kenang pahlawan gugur dalam pertempuran Bakara Market

by Zaki Salleh

BALING, 28 Feb – ‘Jasa pahlawan akan dikenang selamanya’.

Walaupun 31 tahun hampir berlalu, namun ingatan warga Batalion ke-19 Rejimen Askar Melayu Diraja (Mek) pada pahlawan yang gugur semasa Pertempuran Bakara Market di Somalia sentiasa segar.

Sebagai menitip tanda ingatan tersebut, seramai 13 pegawai dan 65 anggota menjalankan aktiviti gotong royong dan tahlil ringkas perwira negara, Allahyarham Kpl Mat Aznan Awang SP di Tanah Perkuburan Parit Panjang, Baling.

Ia bersempena sambutan Israk Mikraj baru-baru ini.

Majlis bagi memperingati Allahyarham Kpl Mat Aznan SP yang gugur dalam pertempuran itu sewaktu 19 RAMD (Mek) menggalas misi tentera pengaman UNOSOM II MALBAT 1.

Mengetuai program ini ialah Pegawai Memerintah 19 RAMD (Mek) Lt Kol Mohd Hizami Mohd Zaini selain turut bersama veteran 19 RAMD (Mek) dihadiri pengerusinya, Kapt Mohd Sattar Hj Mohd Saad (B).

Program dimulakan dengan aktiviti gotong royong kawasan perkuburan dan diteruskan dengan tahlil ringkas oleh Staf Agama Pasukan.

Ia diakhiri dengan jamuan yang dimasak sendiri oleh keluarga Allahyarham Kpl Mat Aznan untuk seluruh warga penggempur Harimau Besi dan veteran yang hadir.

Imbas kembali, pertempuran Bakara berlaku pada tanggal 3 dan 4 Oktober 1993 membabitkan tentera elit Amerika Syarikat (AS) dengan pihak militia Somalia di Bakara Market.

Pasukan 19 RAMD yang ketika itu terlibat dalam misi pengaman UNOSOM II telah dikerahkan ke kawasan pertempuran untuk menyelamatkan anggota elit US Rangers yang terperangkap.

Pada awalnya ramai anggota terlibat tidak tahu mengenai misi menyelamat tentera AS yang dikepung kumpulan pemberontak kerana arahan yang diterima sangat singkat.

Misi melibatkan 114 anggota 19 RAMD Mekanize menggunakan 40 kenderaan APC Radpanzer Condor akhirnya berjaya menyelamatkan tentera AS.

Bagaimana pun, semasa misi ini kenderaan APC Radpanzer Condor dipandu Prebet Mat Aznan diserang hendap pemberontak dengan roket RPG yang menembusi cermin hadapan.

Seramai 9 anggota yang lain turut mengalami kecederaan dalam pertempuran tersebut.

Allahyarham Mat Aznan Awang telah dikurniakan darjah keberanian Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) oleh Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agung dan dinaikkan ke pangkat Koperal.

Kisah keberanian 19 RAMD (Mek) ini telah diangkat ke layar perak yang dipaparkan secara seni kreatif dalam filem box office ‘Malbatt: Misi Bakara’ tahun lalu.

Filem  ‘Malbatt: Misi Bakara’ membuka kembali mata rakyat Malaysia khususnya generasi muda kerana ramai yang tidak pernah tahu tentang  peristiwa itu. – airtimes.my

#AirTimes #Malaysia #Pertahanan #19RAMD

Related Articles

Leave a Reply