Home Teknologi Pertahanan Perolehan helikopter ketenteraan Asia Pasifik meningkat 1,500 buah dalam masa 10 tahun – Airbus

Perolehan helikopter ketenteraan Asia Pasifik meningkat 1,500 buah dalam masa 10 tahun – Airbus

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 28 FEB – Perolehan helikopter ketenteraan dijangka akan meningkat sebanyak 1,500 buah dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Timbalan Presiden merangkap Ketua Pemasaran Airbus Helicopters, Fabrice Rochereau.

Menurut beliau, keperluan dan perolehan helikopter ketenteraan dijangka meningkat di rantau ini didorong oleh beberapa faktor.

Antara faktor pendorong adalah modenisasi dan perolehan baharu aset tersebut. Selain itu, pasaran di rantau ini dijangka akan memberikan fokus kepada helikopter dari kategori utiliti bersaiz sederhana, serangan khusus, tempur dan keupayaan operasi di laut.

Jelasnya, Airbus Helicopters mampu untuk memenuhi keperluan tersebut dengan menyedia platform bersesuaian termasuklah H225M dan H145.

“Kami berada dalam kedudukan yang baik untuk memenuhi permintaan yang sedang meningkat untuk segmen helikopter tentera,” katanya.

Rantau Asia Pasifik merupakan antara pasaran utama Airbus. Sebanyak 2,200 buah helikopter keluaran syarikat tersebut sedang beroperasi di rantau ini dalam bidang penerbangan awam, separa awam dan juga ketenteraan.

H225M dan H145M turut dioperasikan dirantau ini bagi melaksanakan pelbagai misi dan peranan. Antaranya pengangkutan, latihan, operasi menyelamat dan juga bantuan bencana.

Selain itu, Airbus melihat helikopter ringan H145M sebagai sebuah platform yang berkeupayaan untuk melaksanakan misi sokongan tempur di lapangan. Helikopter ini mempunyai keupayaan tersendiri, pengendalian penerbangan yang selesa dan juga mengetengahkan ciri-ciri yang mampu untuk melaksanakan pelbagai misi.

Sehingga kini, lebih 500 buah helikopter ini dioperasikan oleh 10 buah pasukan tentera di seluruh dunia termasuk Thailand.

“H145M menjadi perhatian dunia kerana keupayaannya dalam mengangkut anggota tentera dan juga barangan dengan cekap dalam melaksanakan misi sokongan,

“Helikopter ini juga direka untuk melaksanakan misi di pelbagai domain dan ianya merupakan satu aset yang berkeupayaan serta sesuai untuk dioperasikan di rantau ini,” jelas Rochereau.

Helikopter H225M merupakan antara produk yang menjadi taruhan Airbus Helicopters di rantau Asia Pasifik. Foto: Airbus

H225M pula dilihat mampu untuk memenuhi keperluan yang meningkat terhadap permintaan helikopter untuk operasi khusus, menyelamat dan pengangkutan taktikal.

Sehingga kini, H225M dioperasikan oleh 10 pasukan tentera dan 160 buah daripadanya telah dihasilkan.

“Empat daripada sepuluh pelanggan H225M adalah berada di rantau Asia Pasifik dan mereka telah membuktikan kemampuan helikopter ini sebagai pengganda keupayaan tentera dalam melaksanakan operasi dalam pelbagai keadaan cuaca,

“Ini merupakan nilai tambahan kepada sebilangan besar pengendali H225 di rantau ini yang menggunakan helikopter versatil oleh sektor awam dan separa awam,

“H225M dan H145M mempunyai peluang yang besar dalam pasaran rantau Asia Pasifik,

“Airbus yakin bahawa kedua-dua helikopter ini akan menjadi aset yang penting kepada angkatan tentera serantau bagi melengkapkan keupayaan mereka,” kata Rochereau. – airtimes.my

#AirTimes #Airbus #TeknologiPertahanan

Related Articles

Leave a Reply