Home Pertahanan dan Keselamatan Raja Mohamed Affandi bersara jadi Pengerusi LTAT

Raja Mohamed Affandi bersara jadi Pengerusi LTAT

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 9 Feb – Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) mengumumkan persaraan Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor daripada jawatan Pengerusi, berkuat kuasa 8 Februari 2024.

Dalam satu kenyataan, LTAT berkata, tempoh perkhidmatannya, yang bermula pada 2021, telah ditandai dengan komitmen yang tidak berbelah bahagi untuk memperkukuh tadbir urus korporat lembaga itu.

“Kepimpinan beliau telah memainkan peranan penting dalam mencapai pencapaian penting, terutamanya mendapatkan kelulusan untuk pindaan Akta Tabung Angkatan Tentera 1973 (Akta 101), bertujuan untuk memperkukuh rangka kerja tadbir urus korporat LTAT,

“Semasa pengurusannya, LTAT merasmikan Polisi & Garis Panduan Risiko Pelaburan, satu langkah penting memastikan perlindungan pelaburan LTAT sambil mengoptimumkan profil pulangan risikonya,

“Lembaga Pengarah, pengurusan dan kakitangan LTAT menzahirkan penghargaan paling mendalam kepada Jeneral Tan Sri Raja Affandi di atas kepimpinan dan sumbangannya yang tidak ternilai sepanjang tempoh perkhidmatan, selain mengucapkan selamat maju jaya,” jelas LTAT.

Persaraan Raja Mohamed Affandi itu hadir selepas Lembaga Pengarah LTAT mengumumkan pengunduran Ketua Eksekutifnya, Datuk Ahmad Nazim Abd Rahman berkuat kuasa 31 Mac lalu.

Baru-baru ini, LTAT dalam kenyataan menempelak dakwaan kononnya pengunduran Ketua Eksekutif, Datuk Ahmad Nazim Abd Rahman sebelum ini disebabkan penstrukturan semula Boustead Holdings Bhd.

Menurut LTAT, dakwaan itu tidak tepat kerana pada masa ini masih tiada keputusan akhir (tentang pengunduran Ahmad Nazim) dibuat dan perkara tersebut masih dalam perbincangan dengan semua pihak berkepentingan yang berkaitan.

Tegas LTAT lagi, pihaknya kekal komited dalam memastikan kemampanan dana jangka panjang selain terus meneroka semua pilihan pelaburan bersama pihak berkepentingan yang berkaitan termasuk badan kawal selia dan Kementerian Pertahanan, seperti yang diamanatkan oleh Akta 101.

Penjelasan itu adalah selepas laporan sebuah portal berita yang mengaitkan pengunduran Ahmad Nazim sebagai tindak balas kepada penangguhan penstrukturan semula badan itu.-airtimes.my

#LTAT #pertahanan #airtimes #Malaysia

Related Articles

Leave a Reply