Home Pertahanan dan Keselamatan 3 orang kanan LTAT letak jawatan timbul tanda tanya krisis kepimpinan dalaman

3 orang kanan LTAT letak jawatan timbul tanda tanya krisis kepimpinan dalaman

by Zaki Salleh

KUALA LUMPUR, 19 Feb – Dunia korporat hari ini dikejutkan dengan berita peletakan jawatan seorang lagi pengurusan kanan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) sekali gus menimbulkan tanda tanya.

Pengarah Kanan Strategi LTAT, Dayana Rogayah Omar dilaporkan mengemukakan surat peletakan jawatannya itu bagi mengejar kepentingan lain.

Ini menjadikan Dayana Rogayah sebagai individu ketiga dalam barisan pengurusan LTAT berbuat demikian.

Minggu lalu, Pengerusi LTAT, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor pada 8 Februari diumumkan bersara oleh LTAT dalam satu kenyataan kepada media.

Bagaimana pun, ia kemudian diperbetulkan oleh Raja Mohamed Affandi apabila memaklumkan beliau meletakkan jawatan dan bukan bersara.

Peletakan jawatan beliau mengejutkan kerana ia berlaku tidak lama selepas Datuk Ahmad Nazim Abd Rahman pada melepaskan jawatan Ketua Eksekutif.

Surat peletakan jawatan Ahmad Nazim melahirkan kebimbangan bahawa keputusan untuk menangguhkan Pelan Strategik LTAT 2023-2025 akan menjejaskan pelaksanaan dan menimbulkan risiko besar kepada kunci kira-kira LTAT.

Selain itu, ia dibimbangi memberi kesan kepada keupayaan memenuhi sasaran dividen minimum untuk 2023.

Surat yang dihantar kepada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin itu dilihat oleh New Straits Times (NST) sepertimana dilaporkan media.

Pharmaniaga Bhd, yang juga anak syarikat LTAT dan Boustead Holdings turut mengumumkan bahawa Dayana meletak jawatan sebagai Anggota Lembaga Pengarah berkuat kuasa 14 Februari 2024.

Lembaga Pengarah Pharmaniaga menerima surat peletakan jawatan pada 16 Februari 2024.

Dayana, dilantik sebagai pengarah ganti untuk seorang lagi penama LTAT iaitu Ketua Pegawai Kewangannya, Mohammad Ashraf Md Radzi.

Pharmaniaga menyerahkan pelan penyusunan semula syarikat itu pada 29 November 2023.

LTAT yang ditubuhkan pada Ogos 1972 sebagai badan berkanun di bawah Akta Tabung Angkatan Tentera 1973 sebagai organisasi dana pencen untuk anggota Angkatan Tentera Malaysia.

Bagi maksud tersebut, LTAT meneroka pelbagai cabang perniagaan dan sektor korporat

Boustead Holdings Berhad adalah cabang pelaburan kepada LTAT yang mana kumpulan perniagaan ini mempunyai lebih daripada 90 buah anak syarikat, syarikat bersekutu dan usahasama.

Selain itu, LTAT juga merupakan pemilik tiga buah perbadanan yang mempunyai kaitan langsung dengan warga ATM iaitu PERNAMA, PERHEBAT dan Perbadanan Perwira Harta Malaysia.

Sebelum ini, bekas Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan penstrukturan semula Boustead Holdings Bhd penting bagi membolehkan LTAT mengurangkan kebergantungan pendapatan daripada syarikat tersebut.

Pengurangan pemegangan dalam Boustead akan memberi impak positif jangka panjang kepada LTAT yang menguruskan dana pencen untuk angkatan tentera itu.

Katanya, Boustead juga berisiko berdepan muflis yang boleh mengakibatkan separuh daripada nilai dana persaraan LTAT iaitu hampir RM5 bilion merosot dan terhapus. – airtimes.my

#AirTimes #LTAT #Pertahanan

Related Articles

Leave a Reply