Walaupun keputusan Pemilihan Umum (Pemilu) Presiden Indonesia hanya diketahui pada bulan Mac depan iaitu sebulan selepas tarikh pembuangan undi, namun gandingan Prabowo Gibran disebut-sebut mendahului kiraan.
Berdasarkan keputusan tidak rasmi calon presiden Indonesia, Prabowo Subianto dan pasangannya, Gibran Rakabuming Raka mendahului pesaing mereka.
Prabowo, 72, yang ketika ini masih Menteri Pertahanan dijangka dilantik sebagai presiden baharu negara demokrasi ketiga terbesar di dunia itu.
Selain memberi fokus terhadap kemajuan Indonesia, satu perkara yang pastinya tidak terlepas pada pemerhatian penganalisis luar ialah dimensi baharu Tentara Nasional Indonesia (TNI).
Sebagai bekas Jeneral tiga bintang, sudah semestinya soal pertahanan tidak akan terlepas pada perancangan Prabowo sebagai ketua negara.
Prabowo akan menjadi bekas Jeneral terbaharu menjawat kerusi tertinggi republik itu selepas Presiden ke-6, Susilo Bambang Yudhoyono atau SBY (2004 – 2014).
SBY mantan Jeneral empat bintang dan seperti Prabowo, beliau juga merupakan pegawai kanan dalam pasukan Kostrad (Komando Cadangan Strategis Angkatan Darat).
TNI Angkatan Darat mempunyai dua ketumbukan elit iaitu Kostrad selaku pasukan tempur darat dan Komando Pasukan Khusus (Kopassus) sebagai pasukan khas.
Keduanya mempunyai peranan dan fungsi yang berbeza tetapi daripada segi jumlah keanggotaan Kostrad lebih besar.
Prabowo sendiri pernah dilantik menerajui kedua-dua pasukan iaitu sebagai komander Kopassus (1996) dan komander Kostrad (1998) sebelum pelucutan jawatan beliau semasa era reformasi.
Tambah menarik ialah kerjaya beliau dalam cabang ketenteraan bermula sebagai ketua platun Kopassus yang ketika itu dikenali sebagai Kopassandha pada 1976.
Prabowo lulus kursus asas komando setahun sebelumnya. Latar belakang akademik dan ketenteraan beliau sangat cemerlang selain fasih menguasai bahasa Inggeris, Perancis, Belanda dan Jerman.
Presiden kedua Indonesia, Soeharto yang juga bapa mertua Prabowo adalah panglima Kostrad pertama semasa berpangkat Mejar Jeneral.
Sebagai Menteri Pertahanan pentadbiran kerajaan Presiden Jokowi, Prabowo dilihat berjaya memacu dasar pembangunan angkatan tentera republik itu ke paras yang lebih tinggi.
Ogos tahun lalu, Indonesia menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi perolehan 24 buah pesawat pejuang F-15EX sewaktu lawatan Prabowo ke kilang pesawat F-15 di St Louis, Amerika Syarikat (AS).
Menerusi MoU ini, Indonesia selangkah untuk menjadi pengguna pesawat tempur antara paling canggih di dunia ini yang mana fasa seterusnya ialah menunggu kelulusan daripada kerajaan AS.
Ini bermakna Indonesia akan menyertai Singapura sebagai pengguna pesawat F-15 di rantau Asia Tenggara.
Indonesia juga bakal menerima 18 buah pesawat pejuang Dasault Rafael buatan Perancis menerusi kontrak yang ditandatangani pada Februari 2022.
Kesemuanya 42 buah pesawat akan dibeli Jakarta dengan kontrak AS$2.3 bilion.
Prabowo sejak beberapa tahun lalu menegaskan kesungguhan Indonesia untuk melaksanakan perolehan pesawat F-15 dan menunggu persetujuan akhir daripada pemerintah.
Dari segi geopolitik, kontrak ini penting pada Boeing dan AS kerana ia akan mengukuhkan lagi kerjasama pertahanan dengan negara sekutunya di rantau ini.
Sebulan kemudian, Indonesia meluluskan pinjaman asing sebanyak AS$700 juta bagi perolehan dua buah pesawat Airbus A330 Multi Role Tanker Transport (MRTT) untuk meningkatkan keupayaan tentera udara.
Selain perolehan MRTT, aset lain yang telah dipersetujui dengan Airbus ialah tawaran mendapatkan helikopter antikapal selam, helikopter H225 dan pesawat pengangkut strategik A400M.
Kejayaan Airbus mendapatkan kontrak pertahanan dengan Indonesia ini merapatkan lagi pengaruh Perancis dalam kerjasama industri antara kedua negara.
Selain pembelian luar negara, Kementerian Pertahanan Indonesia di bawah Prabowo juga sangat menyokong industri pertahanan tempatan apabila menjadi pembeli terbesar.
Antaranya kepada PT Pindad Persero melibatkan aset tentera darat, PT PAL Indonesia (aset maritim) dan PT Dirgantara Indonesia (pesawat udara).
Di samping sokongan ini, perlu diakui industri pertahanan Indonesia berada pada kedudukan yang tersendiri apabila berjaya menembusi pasaran global.
Walaupun daripada segi usia penubuhannya sama dengan beberapa syarikat pertahanan di Malaysia tetapi kebolehan yang ada sukar kita tandingi.
PT Dirgantara Indonesia menjual enam pesawat pengangkut NC212i kepada angkatan tentera Filipina dengan kontrak bernilai AS$79 juta.
Manakala PT PAL Indonesia pula berjaya memenangi kontrak membina dua kapal sokongan logistik bersaiz 124 meter untuk tentera laut Filipina.
Ini merupakan pembelian kedua selepas dua kapal dalam kelas serupa, BRP Tarlac dan BRP Davao del Sur (LD-602) lapan tahun lalu.
Indonesia juga dijangka terus merencanakan projek kapal selam antara PT PAL dan Daewoo Shipbuilding and Marine Engineering (DSME) Co Ltd.
Menerusi kerjasama ini, republik itu merancang pembinaan 12 buah kapal selam. Indonesia telah menerima tiga kapal selam iaitu KRI Nagapasa, KRI Ardadedali dan KRI Alugoro.
Ketiga kapal selam ini merupakan batch I daripada empat batch yang direncanakan.
Dengan Indonesia berhadapan isu-isu keselamatan serantau serta domestik, sudah jelas Prabowo sebagai presiden nanti akan terus mendukung pembangunan pertahanan Indonesia. – airtimes.my
#AirTimes #Indonesia #Prabowo #Kolumnis