KUALA LUMPUR, 20 Feb – Malaysia dan Jerman komited untuk terus memperkukuh hubungan, kerjasama dan diplomasi pertahanan diantara kedua-dua negara.
Ia termasuklah melalui peluang latihan bersama, program pendedahan kepada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pembangunan industri pertahanan tempatan.
Kementerian Pertahanan (MINDEF) memaklumkan, perkara itu dizahirkan dalam pertemuan bilateral Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dengan rakan sejawatnya Boris Pistorius ketika mengadakan lawatan rasmi ke Jerman dari 15 hingga 18 Februari lalu.
“Lawatan rasmi Menteri Pertahanan ke Jerman ini dilihat penting dalam memastikan kerjasama pertahanan antara Malaysia dan negara-negara rakan kerjasama pertahanan terus diperkukuh,
“Perkara itu selaras dengan Tonggak Ketiga Strategi Pertahanan Negara dan Perkongsian Wibawa yang termaktub dalam Kertas Putih Pertahanan,” kata MINDEF dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurut MINDEF, semasa lawatan itu, Mohamed Khaled dan delegasinya turut menyertai Persidangan Keselamatan Munich (MSC) yang berlangsung dari 16 hingga 18 Februari lepas.
“MSC merupakan persidangan keselamatan tertinggi yang dianjurkan oleh Jerman sejak 1963 dan melibatkan penyertaan Menteri Pertahanan, Ketua Angkatan Tentera dan pemimpin kerajaan dari rantau Eropah serta seluruh dunia,
“MSC yang menyambut ulang tahun ke-60 tahun ini telah menjadi platform antarabangsa penting untuk pertukaran pandangan mengenai dasar keselamatan antarabangsa,” ujar kementerian itu.
Mohamed Khaled juga sempat mengadakan pertemuan dengan Menteri Pertahanan Singapura, Dr Ng Eng Hen untuk membincangkan isu strategik serantau serta kerjasama dua hala.
MINDEF turut memaklumkan, Malaysia dan Singapura komited untuk mempertingkatkan peranan ASEAN dalam konteks pertahanan dan akan terus mendukungnya melalui Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahana ASEAN (ADMM).
“Semasa lawatan itu, Menteri Pertahanan turut bertemu dengan Menteri Pertahanan Kanada, Bill Blair bagi membincangkan pelbagai isu dan kedinamikan aspek pertahanan termasuk dalam diplomasi pertahanan, kesan perubahan iklim dan potensi masa depan hubungan Kanada dengan rantau ASEAN,” katanya lagi.
Selain daripada persidangan dan pertemuan-pertemuan bilateral tersebut, Mohamed Khaled dan delegasi turut mengadakan lawatan ke pejabat Brainlab AG serta bertemu dengan kumpulan syarikat Rheinmetall.
“Delegasi Malaysia telah diberikan taklimat dan penerangan mengenai teknologi dan inovasi terkini syarikat-syarikat berkenaan dalam bidang perubatan dan pertahanan,
“Menteri Pertahanan dan wakil-wakil industri turut membincangkan usaha-usaha yang boleh dilaksanakan dalam meningkatkan kerjasama di antara industri Malaysia dan Jerman,” jelas kementerian itu. -airtimes.my
#pertahanan #diplomasi #Jerman #Malaysia #ATM #airtimes