Home Semasa Tok Mat ke ICJ, berhujah isu Israel – Palestin

Tok Mat ke ICJ, berhujah isu Israel – Palestin

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 20 Feb – Malaysia akan memberi kenyataan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), The Hague, Belanda berhubung kesan perundangan terhadap pencabulan hak asasi rakyat Palestin, Khamis ini.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan, beliau akan mengetuai deligasi Malaysia untuk Sesi Pendengaran Awam bagi mendapatkan Pendapat Nasihat ICJ berkaitan Kesan perundangan yang timbul daripada Dasar dan Amalan Israel di Wilayah Pendudukan Palestin, termasuk Baitul Maqdis Timur di Peace Palace, mulai semalam.

Pendapat Nasihat adalah proses penting bagi memperoleh nasihat perundangan daripada ICJ, iaitu badan kehakiman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), selaras Artikel 96 Piagam PBB dan Artikel 65 Statut ICJ.

Sehubungan itu, Mohamad berkata, beliau diiringi Peguam Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh dan dijadual menyampaikan kenyataan lisan Malaysia pada jam 12.10 tengah malam, Jumaat ini (waktu Malaysia).

Beliau berkata, Malaysia menyertai prosedur Pendapat Nasihat itu bagi membantu ICJ meneliti persoalan perundangan dikemukakan Perhimpunan Agung PBB, selepas turut menyertai prosiding bertulis dengan mengemukakan Kenyataan Bertulis kepada ICJ pada 25 Julai lalu.

Jelasnya, prosiding itu adalah susulan permohonan dibuat oleh Perhimpunan Agung PBB dengan proses berkenaan berasaskan Resolusi 77/247 Perhimpunan Agung PBB yang diterima pakai pada 30 Disember 2022 yang berbeza dengan kes difailkan Afrika Selatan, pada 29 Disember lalu.

“Pendapat Nasihat memberi impak perundangan dan tanggungjawab moral besar serta menyumbang kepada pemahaman dan pembangunan undang-undang antarabangsa yang boleh menjadi pemangkin keutuhan hubungan antara negara,

“Penyertaan di sesi pendengaran awam ini adalah pembabitan kali kedua Malaysia secara langsung dalam prosedur mendapatkan Pendapat Nasihat ICJ bagi menyokong Palestin,

“Malaysia pada 2004, sudah menyertai permohonan mendapatkan Pendapat Nasihat ICJ mengenai Kesan Perundangan Pembinaan Tembok di Wilayah Pendudukan Palestin, yang mana ICJ memutuskan tindakan Israel bertentangan undang-undang antarabangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, Perhimpunan Agung PBB sudah mengemukakan beberapa persoalan perundangan bagi ICJ memberikan pendapatnya, antaranya kesan perundangan akibat pencabulan berterusan oleh Israel terhadap hak rakyat Palestin bagi penentuan nasib sendiri.

Selain itu, dasar dan tindakan Tel Aviv yang memberi kesan terhadap status perundangan pendudukan Israel serta impak perundangan kepada semua negara dan PBB susulan hasil pendudukan terbabit.
“Penyertaan dalam prosedur Pendapat Nasihat ini melambangkan usaha bersepadu Malaysia di pelbagai platform antarabangsa, termasuk Majlis Keselamatan PBB, Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) dan ASEAN bagi menyokong Palestin dan membawa Israel ke pengadilan,

“Sebagai negara yang lantang memperjuangkan isu Palestin, kehadiran Malaysia di ICJ adalah penting untuk berganding bahu bersama negara sepemikiran dalam mempertahankan isu kemanusiaan sejagat,” ujarnya lagi.

Dalam masa yang sama, beliau berkata, kenyataan bertulis Malaysia menekankan hujah berkaitan dasar dan tindakan Israel, termasuk pendudukan berterusan, aktiviti penempatan dan pengilhakan di wilayah Palestin, yang mencabul hak rakyat Palestin untuk penentuan nasib sendiri.

“Kenyataan berkenaan juga menegaskan pendudukan Israel adalah haram dan bertentangan undang-undang antarabangsa,

“Saya akan mendalami aspek hujahan ini semasa membentangkan Kenyataan Lisan Malaysia nanti,” katanya lagi.

Menurut Mohamad, prosiding memohon Pendapat Nasihat itu juga selari kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sentiasa lantang mempertahankan hak rakyat Palestin di pelbagai platform antarabangsa.

Tegasnya, Anwar juga sentiasa menekankan tanggungjawab moral komuniti antarabangsa untuk menangani kekejaman dilakukan Israel terhadap rakyat Palestin, terutama golongan wanita dan kanak-kanak.

“Malaysia kekal komited, berdasarkan kemampuan dan keupayaannya untuk mencari penyelesaian berkekalan kepada konflik Palestin-Israel di semua platform antarabangsa,

“Justeru, saya mengulangi pendirian teguh Malaysia bahawa rakyat Palestin berhak mendapat negara merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara, selain sentiasa meneruskan usaha memastikan Palestin diterima sebagai anggota penuh PBB,” jelas kenyataan itu lagi.-airtimes.my

#semasa #airtimes #Malaysia #Palestin #antarabangsa

Related Articles

Leave a Reply