KUALA LUMPUR, 13 NOV – Buat julung kalinya Kor Polis Tentera Diraja (KPTD) telah mengorak satu lagi langkah dengan menubuhkan Tim Demonstrasi Seni Mempertahankan Diri Tentera Darat.
Ia terhasil dari cebisan idea daripada Pengerusi KPTD, Brigedier Jeneral Abd Wahab Geoh.
Tim ini telah dianggotai seramai 60 anggota dari KPTD.
Pengerusi KPTD berkata, tim ini merupakan produk terbaru yang ditawarkan oleh pihaknya kepada Tentera Darat Malaysia (TDM).
“Tim ini mampu membina persepsi positif rakyat Malaysia terhadap Tentera Darat,” katanya semasa menyampaikan Perutusan Pengerusi KPTD sempena Perbarisan Hari Ulang Tahun KPTD Ke-70, di Kem Genting Klang, hari ini.

Tim Demonstrasi Seni Mempertahankan Diri Tentera Darat mempersembahkan aksi mereka hari ini. Foto: AirTimes/N. Huda
Selain itu, bagi memacu pemerkasaan KPTD selari dengan matlamat dan aspirasi TDM pada masa hadapan, beliau memaklumkan, Majlis Angkatan Tentera Ke-611 telah meluluskan penubuhan Rejimen Kelima KPTD yang berpangkalan di Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu, Sabah.
“5 Rejimen KPTD ini mempunyai 2 kompeni di bawah pemerintahannya iaitu pasukan 5 Kompeni KPTD di Kem Lok Kawi, dan 13 Kompeni KPTD berpangkalan di Lahad Datu,
“Pelan hala tuju transformasi KPTD yang telah dilancarkan pada tahun lepas, selari dengan Perintah Ulung Panglima Tentera Darat Ke-30 dengan visi untuk menjadi sebuah kor yang kredibel, seimbang, dinamik dan responsif bagi menyokong aspirasi Tentera Darat,” ujarnya lagi.

Pengerusi KPTD, Brigedier Jeneral Abd Wahab Geoh berkata, perolehan aset ini akan meningkatkan keupayaan mobiliti KPTD dan memberikan impak positif terhadap penugasan kepolisan secara keseluruhannya. Foto: AIrTimes/N.Huda
Mengulas lanjut, beliau berkata, KPTD juga telah berjaya memperoleh sebanyak 42 buah kereta peronda jenis Honda Civic 1.8S dan 40 buah motosikal penguatkuasa jenis BMW R 1250 RT.
Pada tahun ini pula, KPTD telah mendaftarkan perluasan skop sewaan untuk mendapatkan tambahan sebanyak 30 buah kereta peronda dan 40 buah motosikal penguatkuasa.
“Perolehan aset-aset melalui dasar kontrak sewaan ini amat memberi manfaat kepada KPTD kerana ianya menjamin tahap boleh gerak yang tinggi pada sebilang masa,
“Perolehan aset-aset ini akan meningkatkan keupayaan mobiliti KPTD dan memberikan impak positif terhadap penugasan kepolisan secara keseluruhannya,” jelasnya lagi.
Terdahulu, Abd Wahab telah menyaksikan perbarisan yang terdiri daripada 15 pegawai dan 187 anggota serta diketuai oleh Leftenal Kolonel Nizar Azmir Abd Malek.
Perbarisan yang diadakan di Padang Kawad Pusat Latihan Polis Tentera Diraja (PULAPOT), Kem Genting Klang itu turut mempersembahkan demonstrasi Seni Mempertahankan Diri Tentera Darat dan persembahan dari Tim Army Red Warrior (ARW).
Turut hadir, Provos Marsyal Darat, Brigedier Jeneral Muhammad Rafi Abdul Kadir; Timbalan Pengarah KPTD, Kolonel Nozri Senawi dan para Pegawai Kanan KPTD serta veteran KPTD. -airtimes.my
#KPTD #TDM #airtimes #pertahanan #ARW
Galeri gambar: