KUALA LUMPUR, 2 NOV – Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, begitulah situasi yang boleh diungkapkan terhadap situasi semasa di Gaza.
Terbaharu, Hospital Persahabatan Turkiye-Palestin di wilayah bergolak itu telah berhenti daripada beroperasi.
Perkara tersebut telah disahkan oleh Menteri Kesihatan Palestin, May Alkaila.
Menurut beliau, operasi hospital yang satu-satunya khusus untuk pesakit kanser di Gaza telah henti operasi berikutan terkena bedilan Israel serta kehabisan bahan api.
Sementara itu, pengarah Hospital Turkiye, Subhi Skaik mengesahkan hospital tersebut tidak lagi mempunyai bekalan bahan api bagi mengoperasikan set janakuasa elektrik yang diperlukan oleh fasiliti tersebut.
“Kami ingin memberitahu dunia untuk tidak membiarkan pesakit kanser (di Gaza) mati kerana hospital ini tidak lagi beroperasi (kerana kehabisan minyak),” katanya.
Sementara itu, agensi media Palestin menyatakan hospital tersebut mempunyai 70 pesakit kanser yang sedang menerima rawatan dan mungkin maut berikutan keadaan tersebut.
Kementerian Kesihatan Gaza menyatakan 16 daripada 35 hospital di Gaza tidak lagi beroperasi berikutan kerosakan akibat bedilan oleh Israel dan juga kehabisan bahan api.
Walaupun bantuan kemanusiaan mula dibenarkan memasuki Gaza secara berperingkat semenjak 21 Oktober lalu, tetapi bahan api seperti minyak tidak dibenarkan masuk berikutan tekanan daripada pihak Israel. – airtimes.my
#AirTimes #Malaysia #Gaza #Turkiye