KUALA LUMPUR 2 NOV – Aspek kawalan keselamatan di sempadan sentiasa menjadi teras pada Polis Diraja Malaysia (PDRM) apabila sentiasa meningkatkan pengawasan khususnya di pintu-pintu masuk negara.
Pelaksanaan tanggungjawab tersebut digalas Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) melalui pelbagai operasi bersepadu dengan mengatur gerak aset-aset milik pasukan.
Ia melibatkan pemantauan dan pengawasan di darat, laut dan udara.
Ini termasuklah mengatur gerak kenderaan perisai, unit berkuda, bot marin, helikopter dan dron demi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam negara terjamin.
Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Razarudin Husain berkata, Jabatan KDNKA memaksimumkan aset-aset dimiliki memandangkan ancaman jenayah rentas sempadan yang semakin kompleks.
Tegas beliau, sepanjang tempoh penugasan di sempadan juga jabatan tersebut telah merekodkan banyak kejayaan besar.
“Jabatan KDNKA telah membuat 4,356 tangkapan dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM789.99 juta menerusi 6,476 kes yang dilaporkan sejak Januari hingga September 2023.
“Antaranya ialah kejayaan Cawangan Wildlife Crime Bureau/ Perisikan Siasatan Khas merampas pelbagai barangan makanan sejuk beku yang dianggarkan bernilai RM21 juta,” ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Perhimpunan Bulanan KPN bagi bulan Oktober anjuran Jabatan KDNKA Bukit Aman pada akhir Oktober lalu.
Hadir sama Pengarah Jabatan KDNKA, Dato’ Sri Hazani Ghazali.
Tambah beliau lagi, Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) juga turut mencipta kejayaan apabila berjaya merampas 495 kilogram dadah syabu bernilai RM17.8 juta.
Bagi Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) pula, pasukan tersebut telah melaksanakan 28 serbuan dengan nilai rampasan sebanyak RM37.3 juta.
Sementara itu, seramai 64 individu ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) melibatkan 110 kes rampasan rokok dan minuman keras tidak bercukai bernilai RM37.1 juta melalui Op Kontraban yang dilaksanakan.
KPN dalam ucapannya merakamkan mengucapkan setinggi-tinggi syabas dan tahniah kepada seluruh warga Jabatan KDNKA atas kejayaan yang diperolehi.
Beliau berharap agar momentum kecemerlangan serta rekod yang memberangsangkan tersebut diteruskan.
Pada majlis sama seramai 46 pegawai polis dan pegawai awam menerima sijil penghargaaan daripada Razarudin atas kecemerlangan masing-masing.
PDRM yang terbahagi kepada 10 jabatan yang mana Jabatan KDNKA boleh disifatkan sebagai satu ketumbukan operasi besar melibatkan elemen darat, laut dan udara.
Lima teras kekuatan jabatan ini ialah PGA, PPM, FRU, PGU dan Pasukan Gerakan Khas (PGK).
PGK meliputi pasukan Komando 69 dan Unit Tindakhas yang merupakan pasukan khas dalam PDRM dengan kepakaran tersendiri dan berbeza.
PGA pula mempunyai lima buah briged infantri termasuk masing-masing satu briged di Sabah dan Sarawak dengan jumlah kekuatan 19 batalion.
PGA juga diperkuat dengan lima buah skuadron kenderaan perisai bagi menyokong lima briged sedia ada. – airtimes.my