MELAKA 2 NOV – Risiko banduan untuk bertindak radikal semasa berada dalam tahanan adalah antara kemungkinan yang harus dielakkan kerana ia boleh menyebabkan berlaku kekacauan.
Penempatan banduan berisiko tinggi misalnya diuruskan secara profesional bagi kepentingan pemulihan serta keselamatan membabitkan banduan dan tahanan dalam kelompok tersebut.
Walaupun situasi tindakan radikal banduan seringkali dilihat terjadi di luar negara namun, itu tidak bermakna risiko serupa terlepas berlaku di sini.
Sebab itu penting bagi Jabatan Penjara Malaysia sentiasa bersedia untuk menghadapi risiko tidak dijangka dengan melengkapkan pegawai serta anggotanya dengan kemahiran diperlukan.
Ini bertujuan membuat latihan persediaan awal untuk menghadapi sebarang kegemparan yang berkemungkinan berlaku di dalam penjara.
Bagi menajamkan lagi kemahiran sedia ada, Jabatan Penjara Malaysia telah menghantar 19 anggotanya bagi mengikuti Kursus Asas Unit Khas Trup Tindakan Cepat (TTC) di Kem Sungai Udang, Melaka.
TTC merupakan unit khusus dalam Jabatan Penjara bagi meningkatkan tahap keselamatan penjara khusus dalam pengurusan banduan berisiko tinggi.
Ini bagi menghadapi sebarang ancaman dan kejadian luar biasa melibatkan banduan akhir, banduan berprofil tinggi dan kumpulan terancang.
Kursus Asas TTC ini dilaksanakan selama lapan minggu bermula 4 September sehingga 27 Oktober melibatkan pelbagai modul kursus.
Antaranya kursus pertempuran jarak dekat bertujuan melatih tentang taktik, teknik dan prosedur secara teori dan taktikal untuk digunakan dalam menjalankan tugas.
Terdahulu, majlis penutupan kursus ini serta pemakaian beret merah TTC telah disempurnakan oleh Timbalan Komisioner Jeneral Penjara, Dato’ Abdul Aziz Abdul Razak.
Ia turut dihadiri Panglima 21 GGK, Mejar Jeneral Adi Ridzwan Abdullah.
Hadir sama Pengarah Bahagian Keselamatan & Inteligen, Komisioner Penjara Ahmad Faudzi Awang dan Pengarah Maktab Penjara Malaysia, Timbalan Komisioner Penjara Mohamad Rosidek Musa.
Turut dipamerkan semasa majlis penutup kursus ini ialah demonstrasi advance shooting yang melatih anggota untuk mahir dalam teknik pengendalian pelbagai jenis senjata.
Kecekapan lain ialah confident shooting iaitu melatih peserta untuk menembak sasaran pada ruang yang sempit dan agility shooting yang melatih ketangkasan pergerakan.
Seterusnya demonstrasi pengiringan VIP yang melatih peserta untuk menjalankan tugas pengawal peribadi dan strike force supaya mampu menjalankan tugas dengan effektif.
Imbas kembali, penubuhan TTC pada Oktober 2017 merupakan ilham Ketua Pengarah Penjara ketika itu, Datuk Mustafa Osman.
Seramai 20 anggota jabatan itu kemudian dipilih untuk menjalani latihan selama tiga bulan di Pusat Latihan Peperangan Khusus (PULPAK) di Kem Sungai Udang.
Mereka telah didedahkan dengan pelbagai kepakaran dan kemahiran termasuk teknik tempur tanpa senjata, menembak jarak dekat dan pengendalian bahan letupan.
Kemahiran lain yang dipelajari ialah teknik menyelamat tebusan dalam bangunan dan luar bangunan serta dalam kenderaan selain risikan dan penyamaran. – airtimes.my
#AirTimes #Malaysia #Pertahanan #GGK