Home Pertahanan dan Keselamatan ATM sedia hantar pasukan pengaman sekiranya ada mandat ke Palestin – Tok Mat

ATM sedia hantar pasukan pengaman sekiranya ada mandat ke Palestin – Tok Mat

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 31 OKT – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa bersedia untuk menghantar pasukan pengaman ke Palestin sekiranya mendapat keputusan atau mandat dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ia termasuk persediaan pasukan pengaman Batalion Malaysia (MALBATT) negara yang bertugas di bawah Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL), sekiranya diperlukan bagi tujuan evakuasi rakyat Malaysia di kawasan berkenaan.

Menurutnya, sehingga kini, tiada sebarang keputusan oleh PBB untuk menghantar tentera pengaman ke negara bergolak itu.

“Sungguhpun begitu, MINDEF melalui ATM sentiasa bersiap siaga termasuklah pasukan MALBATT yang sekarang bertugas di bawah UNIFIL di Lubnan,

“MINDEF akan mengikuti secara dekat perkembangan di Palestin dan sentiasa bersedia memberikan kerja sama penuh kepada Kementerian Luar jika diperlukan bagi membantu urusan evakuasi Malaysia yang terkesan di samping memantau tahap keselamatan anggota MALBATT di Selatan Lubnan,” katanya dalam Penggulungan Belanjawan Tahun 2024 (Peringkat Dasar) Kementerian Pertahanan, di Dewan Rakyat, hari ini.

Mohamad berkata, sebarang keputusan untuk menghantar tentera ke Palestin secara unilateral memerlukan penilaian rapi daripada pelbagai pihak termasuk negara sekitar di kawasan yang bergolak.

Tambahnya, sehingga kini Malaysia sentiasa komited memberi sokongan bagi mencapai keamanan sejagat menerusi panji PBB dan ia terbukti melalui penglibatan dalam 37 misi, sama ada sebagai tentera pemerhati atau pengaman.

“Antaranya di Congo, Somalia, Namibia, Kemboja, Bosnia Herzegovina, Timor Leste dan yang terkini di Lubnan, malah kini ATM masih terlibat dalam 5 misi antarabangsa di bawah PBB,” katanya lagi.

Dalam masa yang sama, Mohamad menjelaskan, beliau akan membawa isu berkaitan Palestin pada sesi perbincangan dengan Menteri Pertahanan ASEAN pada minggu depan sebagai topik sampingan bagi mendengar suara negara-negara rantau itu berkaitan konflik berkenaan.

“Kita nak dapatkan suara ASEAN, kerana kita ada satu pegangan iaitu ASEAN Centrality, sekiranya semua negara ASEAN bersetuju untuk kita hantar tentera ke Palestin di bawah panji PBB,” jelasnya.

Sementara itu, bagi menjawab soalan tambahan Shahidan Kasim (PN- ARAU) sama ada kerajaan bercadang menghantar tentera pengaman ke Palestin melalui Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Mohammad berkata, perkara itu diserahkan untuk pertimbangan Wisma Putra memandangkan ia melibatkan negara lain.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menafikan dakwaan kononnya Malaysia enggan menghantar pasukan tentera bagi membantu Palestin yang kini sedang berperang dengan Israel.

Menurut Anwar, keputusan untuk menghantar pasukan tentera bukan boleh dibuat dengan mudah kerana ia perlu mendapat persetujuan negara-negara jiran Palestin. -airtimes.my

#ATM #pertahanan #Palestin #Mindef

Related Articles

Leave a Reply