Home Pertahanan dan Keselamatan Kereta Perisai Ringan Soviet, SU-100Y

Kereta Perisai Ringan Soviet, SU-100Y

by Muaz Rizqi

Kereta berperisai lazimnya lebih mempunyai kelajuan dan jarak yang lebih hebat berbanding dengan kenderaan tempur tentera yang lain. Kebanyakannya tidak dibuat untuk pertempuran berat, biasanya ia digunakan untuk melaksanakan peninjauan, perintah kawalan dan juga perhubungan. Kenderaan tersebut berperanan utama dalam melaksanakan serangan terhadap pertahanan musuh secara langsung.

Samokhodnaya Ustanovka 100Y yang dikenali sebagai SU-100Y ialah kapal pemusnah kereta kebal Soviet. SU-100Y ialah prototaip meriam self-propelled Soviet, dibangunkan daripada prototaip kereta kebal T-100 semasa perang musim sejuk pada tahun 1939.

Perisai kenderaan SU-100Y adalah hampir sama dengan KV-85, kecuali ia mempunyai 15mm kurang di hadapan. Selepas sebahagiannya telah dinaik taraf, kenderaan itu juga hampir setangkas seperti KV-85. Reka bentuk T-100Y dihantar ke kilang Izhorskyi pada tahun 1940.

Selepas peperangan Soviet menentang Finland berakhir, T-100Y tidak lagi dihantar bagi menentang Finland. Kereta kebal itu diuji terhadap kubu Poland di Daerah Ketenteraan Khas Kiev, bersama dengan KV-2 dan 2 prototaip SU-14.

SU-100Y mempunyai susunan anak kapal yang agak luar biasa. Ia dimuatkan dengan pemandu, pengendali radio, 2 kru, seorang komander dan seorang penembak.

Selepas Perang Musim Sejuk telah berakhir, Soviet tidak banyak menggunakan kenderaan seberat 65 tan ini. Bagaimanapun SU-100Y yang telah dibina dilaporkan telah ditarik keluar daripada simpanan dan digunakan bagi mempertahankan Moscow pada tahun 1941.

SU-100Y menggabungkan senjata tentera laut dengan kerangka yang telah diubahsuai dari tank KV-1S. Senjata ini memberikan daya tembakkan yang luar biasa serta memecahkan bahagian pertahanan musuh dengan mudah.

Memandangkan kenderaan itu menembak terus dari jarak 1500 hingga 2000m, perlindungannya berkesan walaupun daripada tembakan senjata artileri musuh serta meriam anti kereta kebal 37-85mm. Kenderaan itu turut dilengkapi persenjataan dengan meriam tentera laut iaitu B-13 meriam.

Dengan berbekalkan B-13, ia boleh menembusi perisai setebal 160 mm pada jarak sejauh 2,000 meter. Namun, pada jarak yang lebih dekat ia boleh menembusi setebal 200mm keluli.

Ia juga lengkap dengan laras 55 kaliber yang menyediakan peluru dengan halaju lebih 800 m/s. Walaupun dengan sudut ketinggian pada 30 darjah, ia mungkin boleh mencapai jarak tembakan kira-kira hingga 20km. Senjata itu juga mempunyai kadar tembakan yang tinggi 10-12 butir seminit.

Kenderaan itu menggunakan enjin jenis GAM-34 dengan kuasa 890 hp. Enjin tersebut membolehkan kereta kebal berat itu bergerak di sepanjang lebuh raya pada kelajuan 35 km/j, tetapi di kawasan tanah tidak rata, hanya mampu bergerak 16 km/j. Casis dan gear yang digunakan oleh SU-100Y ialah sepenuhnya daripada kereta kebal T-100.

SU-100Y adalah satu pencapaian dalam pembangunan senjata Soviet semasa Perang Dunia ke II. Meskipun gagal dalam mencapai pengeluaran massal, ia masih menjadi bukti akan kebolehan industri ketenteraan Soviet pada masa itu. Dengan berbekalkan meriam tentera laut yang hebat dan potensi serangan yang besar, SU-100Y telah menonjol sebagai contoh unik dari evolusi kenderaan tempur Soviet ketika itu. -airtimes

 

#SU-100Y #PerangDuniaKedua #SovietUnion #pertahanan

Related Articles

Leave a Reply