SUNGAI BESI, 8 SEPT — Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersedia menggerakkan pasukan perubatan atau hospital medan ke Afghanistan sekiranya diperlukan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata, keputusan itu bergantung kepada perbincangan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bersama agensi berkaitan sebelum diputuskan kerajaan.
“NADMA ada mesyuarat untuk membincangkan perkara ini. Namun, kita (ATM) sentiasa bersedia jika ada apa-apa keputusan dan arahan yang melibatkan penghantaran tim-tim perubatan ATM. Kementerian Pertahanan (MINDEF) tunggu keputusan daripada NADMA,” katanya pada sidang media semasa lawatan kerja ke Markas Pemerintahan Medan Barat Tentera Darat di Kem Sungai Besi, hari ini.
Beliau menegaskan, penglibatan Malaysia di Afghanistan akan tertumpu kepada aspek kemanusiaan, seiring pengalaman ATM mengoperasikan hospital medan di Bangladesh bagi membantu pelarian Rohingya, selain misi pasca gempa bumi di Turki.
Selain itu, mengulas mengenai penyertaan Malaysia dalam Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL), Khaled berkata, Majlis Keselamatan PBB telah melanjutkan mandat misi itu sehingga 2026.
“Majlis Keselamatan telah pun bermesyuarat dalam bulan minggu terakhir Ogos yang lepas, mereka telah menyambung mandat UNIFIL setahun lagi di Lebanon dan ianya akan berakhir pada tahun 2026,
“Ini bermakna Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) akan terus berada di Lubnan untuk satu lagi pusingan penugasan tahun depan, sebelum kita (ATM) menilai semula proses deployment selepas mandat berakhir,” jelasnya.
Terdahulu, beliau turut meninjau pelaksanaan program Program Ekonomi MADANI yang melibatkan keluarga anggota tentera di kem melalui projek pertanian dan penternakan bersama Universiti Putra Malaysia (UPM) serta Boustead Plantation.
Program tersebut ujarnya, bukan sahaja membantu menambah pendapatan keluarga anggota, malah menyumbang kepada usaha keterjaminan makanan negara. -airtimes.my
#MALBATT #UNIFIL #ATM #NADMA #airtimes











