Home Pertahanan dan Keselamatan Kerana pulut santan binasa, Saifuddin Shafik disiasat kerana hina korban nahas Lumut

Kerana pulut santan binasa, Saifuddin Shafik disiasat kerana hina korban nahas Lumut

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 25 Apr – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka kertas siasatan terhadap seorang pengguna media sosial yang didakwa membuat komen ‘jelik’ berhubung nahas helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), kelmarin.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, pihaknya turut merampas seunit telefon bimbit jenis iPhone 12 Pro yang dipercayai digunakan pemilik akaun X yang dulu sebagai Twitter, ‘Saifuddin Shafik’ untuk membuat hantaran berkenaan.

Menurutnya, kes itu disiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), D5 Bukit Aman mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1995 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Kertas siasatan telah dirujuk ke Pejabat Peguam Negara selari dengan peruntukan Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan,

“Polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi demi menjaga sensitiviti keluarga mangsa yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau turut mengingatkan orang ramai agar cakna dan prihatin terhadap isu sensitif, terutama melibatkan kegentaran awam melalui media sosial.

“Tindakan tegas akan diambmbil terhadap mana-mana pihak yang bertindak dalam apa jua cara sehingga boleh menjejaskan ketenteraman awam dan keselamatan negara,” tegasnya lagi.

Semalam, media melaporkan seorang pengamal media, Kamal Abas, 51, membuat laporan polis susulan paparan jelek dan biadap menghina anggota tentera yang terkorban dalam nahas 2 helikopter ketika menjalani raptai Pangkalan TLDM Lumut pada Selasa.

Dalam insiden pada jam 9.32 pagi Selasa itu, Helikopter HOM M5033 dan Fennec bertembung di udara dan terhempas serta mengorbankan 10 nyawa.

“Dia (Saifuddin Shafik) telah beri komen dengan perkataan ‘Baru raptai dah mampos.Tak sempat nak perang’,

“Perkataan biadap itu sepatutnya tidak dikeluarkan ketika ramai rakyat khususnya kaum keluarga mangsa sedang dalam kesedihan kerana kehilangan ahli keluarga,” katanya.-airtimes.my

#keselamatan #tldm #nahashelikopter #lumut #airtimes #PDRM

Related Articles

Leave a Reply