Home Semasa UM mohon maaf, kesal kenyataan kontroversi

UM mohon maaf, kesal kenyataan kontroversi

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 25 Apr – Universiti Malaya (UM) hari ini membuat permohonan maaf kepada semua pihak terhadap kenyataan kontroversi yang dikeluarkan oleh seorang profesor Pro-Israel, Dr. Bruce Gilley.

Pusat Komunikasi Korporat (CCC) UM memaklumkan,pihaknya berasa kesal dengan kenyataan kontroversi serta tidak menghormati sentimen masyarakat seperti tular di laman media sosial.

Beliau berkata, pihaknya mengambil maklum saranan Menteri Pendidikan Tinggi dengan mengambil tindakan serta-merta membatalkan sebarang program dan aktiviti yang dijadualkan dihadiri oleh penceramah tersebut.

Tambahnya, laporan lengkap berhubung isu ini sedang disediakan dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang didapati terbabit dengan isu ini.

“Demi memastikan perkara seperti ini tidak berulang, UM juga sedang menambah baik prosedur dan garis panduan yang lebih ketat terutamanya semakan latar belakang mana-mana individu atau pihak yang akan bekerjasama termasuklah kajian penilaian risiko profil media sosial,

“Dalam pada itu, pihak UM turut mengecam kenyataan terbaharu individu tersebut berkenaan aspek keselamatan menggembara ke Malaysia,

“Ini merupakan kenyataan tidak bertanggungjawab dan melampau yang mencetuskan kemarahan seluruh rakyat Malaysia,” kata UM dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, CCC UM menyatakan pihaknya akan terus mendokong pendirian kerajaan yang menentang apa jua unsur yang berkait dengan Israel.

“Kami menyokong penuh usaha mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara merdeka yang sah,” ujarnya lagi. -airtimes.my

#semasa #UM #Malaysia #airtimes

Related Articles

Leave a Reply