Home Semasa #Semasa: Malaysia tidak pernah iktiraf tuntutan mana-mana negara di Laut China Selatan – Wisma Putra

#Semasa: Malaysia tidak pernah iktiraf tuntutan mana-mana negara di Laut China Selatan – Wisma Putra

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 19 SEPT – Malaysia tidak pernah mengiktiraf tuntutan mana-mana negara penuntut Laut China Selatan, termasuk China.

Perkara tersebut disuarakan oleh Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin ketika menyampaikan hujah pengulungan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), hari ini.

Menurut beliau, kerajaan Malaysia telah mengemukakan bantahan diplomatik kepada Beijing berhubung penerbitan Peta Standard China Edisi 2023 yang diterbitkan pada akhir Ogos lalu.

Bantahan tersebut telah dikemukakan pada 11 September 2023 lalu.

“Malaysia tegas menolak tuntutan kedaulatan, hak kedaulatan dan bidang kuasa China ke atas fitur maritim atau kawasan maritim di Laut China Selatan, yang meliputi kawasan maritim Malaysia

berdasarkan Peta Baru Malaysia 1979,

“Ia tidak konsisten dengan undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1982 (United Nations Convention on the Law of the Sea 1982, UNCLOS1982),” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad menjelaskan isu berkaitan perairan Laut China Selatan merupakan satu isu yang kompleks dan sensitif. Ini kerana ia melibatkan hubungan antara negara berikutan tuntutan bertindih oleh negara-negara penuntut.

“Oleh yang demikian, isu ini perlu dikendalikan secara menyeluruh dan setiap tindakan yang diambil

oleh Kerajaan adalah berdasarkan pertimbangan yang komprehensif,

“Dalam mempertahankan kedaulatan, hak kedaulatan dan kepentingan negara, Kerajaan Malaysia harus mengambil sikap berhati-hati,

“Ini mengelakkan tindakan yang boleh meningkatkan ketegangan (escalation) dan sebarang insiden yang tidak diingini berlaku di dalam kawasan perairan negara,” katanya.

Beliau menambah, Malaysia komited untuk menangani isu Laut China Selatan secara konstruktif dengan menggunakan forum dan saluran diplomatik yang sesuai. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply