[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=U92a93gAKD0[/embedyt]
KUALA LUMPUR, 20 SEPT – Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) memohon agar kerajaan mempertimbang untuk meneruskan skim Pemberian Khas Kepada Pesara (PKKP) dalam pembentangan Belanjawan 2024 Oktober ini.
Presiden PVATM, Datuk Sharuddin Omar berkata, sekiranya PKKP tidak disambung, ia akan menjejaskan kebajikan dan pendapatan bulanan veteran tentera secara mengejut.
Jelasnya, ia sekali gus, akan memberi lebih tekanan kepada kehidupan veteran yang bersara sebelum 2013 yang selama ini hanya mendapat pencen 50 peratus daripada gaji akhir berbanding 60 peratus pesara awam lain.
“Walaupun pada 28 Jun lalu, Mahkamah Persekutuan telah memutuskan kenaikan pencen tahunan sebanyak 2 peratus setiap tahun bermula 2013 sebagai tidak sah namun kerajaan terus memberi faedah sedemikian dalam bentuk skim PKKP bermula Julai hingga Disember ini,
“Jika skim PKKP ini tidak diteruskan pada Januari 2024 ia akan memberi kesan yang besar kepada veteran tentera dan seluruh pesara kerajaan,
“Oleh itu, PVATM memohon kerajaan memberi pertimbangan supaya meneruskan skim PKKP,” katanya pada sidang media di Wisma Pahlawan, pada Selasa.
Pada 27 Jun lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan undang-undang pencen yang dipinda sebagai terbatal dan tidak sah selepas menolak rayuan kerajaan serta Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk membatalkan keputusan itu.
Di bawah skim lama, pencen pesara disemak berdasarkan gaji lazim penjawat awam dalam gred yang dimiliki penjawat awam tersebut.
Bagaimanapun, pindaan 2013 diperkenal berdasarkan kadar rata dua peratus kenaikan tahunan.
Dalam pada itu, PVATM sekali lagi menggesa kerajaan melakukan penyelarasan terhadap pencen yang diterima veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebelum 2013 kerana skim baharu yang diperkenalkan pada tahun tersebut telah menyebabkan jurang besar pembayaran pencen antara penerima skim lama dan baharu.
“Perkara ini sudah diperjuangkan oleh PVATM sejak 10 tahun lalu dan tidak semua pesara tentera menuntut pelarasan pencen hanya seramai 78,546 orang (atau 59.1 peratus) daripada jumlah keseluruhan 134,682 pesara ATM,
“Jika kita berasaskan kepada jumlah pencen bulanan yang diterima (tanpa sumber pendapatan lain), seramai 73,339 orang atau 93.4 peratus warga veteran sedang berada dalam kategori B40,”ujarnya lagi.
Tegasnya, kebanyakan veteran yang berpencen sebelum 1 Januari 2013 adalah dalam golongan mereka yang berusia 60 tahun dan ramai pula yang kini sudah uzur dan tidak berupaya untuk bekerja.
Justeru, beliau menjelaskan, kerajaan seharusnya dapat menangani isu berkenaan dengan segera kerana isu pelarasan pencen itu sudah terlalu lama disuarakan dan dibincangkan namun sehingga kini nasib masih tidak menyebelahi golongan ini. -airtimes.my