BEIRUT, 5 SEPT – Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) telah bersetuju untuk meneruskan mandat pasukan pengaman di Lubnan (UNIFIL) untuk setahun lagi.
Keputusan dibuat selepas Majlis Keselamatan PBB telah mengadakan persidangan dan undian untuk meneruskan mandat tersebut.
Undian dibuat pada 31 Ogos dengan 13 bersetuju manakala Rusia dan China mengambil pendekatan berkecuali.
Keputusan tersebut sekaligus memberikan UNIFIL untuk meneruskan mandat mereka sehingga 31 Ogos 2024.
Menurut laporan AFP, mandat terbaharu ini adalah serupa dengan tahun lepas dengan memberikan kebebasan pergerakan kepada hampir 10,000 pengaman yang bertugas di negara itu.
Pengaman UNIFIL ditugaskan berada di Garisan Biru (Blue Line) yang digariskan oleh PBB selepas tentera Israel berundur dari Selatan Lubnan.

UNIFIL kini galas tugas sebagai pemerhati gencatan senjata di antara Hezbollah dan Israel selepas perang tahun 2006. Foto: UNIFIL
Tambahan pula, kawasan tersebut adalah kawasan perebutan antara kerajaan Lubnan dan gerakan bersenjata pro-Iran, Hezbollah,
“UNIFIL tidak memerlukan sebarang kebenaran untuk meneruskan tugas-tugas yang dilaksanakan,
“Mereka diberikan kuasa untuk melaksanakan tugas mereka secara bebas dan terus bekerjasama dengan kerajaan Lubnan,” lapor AFP yang memetik teks persidangan itu.
Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres sebelum ini mengkritik tindakan sesetengah pihak yang cuba menyekat pergerakan UNIFIL. Ini terterutamanya di beberapa lokasi yang didakwa dimiliki oleh NGO mempunyai kaitan dengan Hezbollah.
Ketua kumpulan Hezbollah, Hassan Nasrallah sebelum ini memberikan amaran dan menentang usaha untuk meneruskan mandat PBB.
“Tentera asing berada di wilayah Lubnan tanpa sebarang kebenaran dari pihak kerajaan dan tentera,
“Dan mereka (bertugas) tanpa sebarang koordinasi dengan tentera Lubnan, adakah itu kedaulatan,” katanya.
Sementara itu, wakil kerajaan Lubnan menyatakan pihaknya telah meminta PBB untuk mengembalikan semula mandat yang digunakan pada tahun 202.
Menurutnya, mandat terbabit tidak menekankan isu pergerakan tentera pengaman tanpa sebarang sekatan.

PBB meneruskan mandat UNIFIL di Lubnan dengan menekankan kerjasama dengan kerajaan serta tentera Beirut. Foto: UNIFIL.
“Teks (mandat) tidak mencerminkan sebarang perkara yang disuarakan oleh pihak kami (Lubnan),
“Kebebasan pergerakan sememangnya perlu tetapi ia perlu ada kawalan,” kata wakil Lubnan ke PBB, Jeanne Mrad.
Namun begitu, Perdana Menteri Lubnan, Najib Mikati menyatakan beliau menerima pembaharuan mandat tersebut.
Menurut beliau, penekanan ‘kerjasama dan koordinasi dengan kerajaa Lubnan’ adalah antara permintaan yang telah disuarakan oleh Beirut.
UNIFIL atau United Nations Interim Force in Lebanon ditubuhkan pada tahun 1978 bagi memerhati pengunduran tentera Israel dari negara itu selepas bertindak balas terhadap serangan Palestin.
Peranan pasukan ini dipertingkatkan pada tahun 2006 selepas peperangan 34 hari antara Hezbollah dan Israel tercetus.
Semenjak itu, UNIFIL ditugaskan untuk memerhati gencatan senjata antara kedua-dua pihak.
Pada ketika ini, Malaysia turut menggalas peranan di Lubnan oleh kontinjen MALBATT 850-10. Kontinjen ini merangkumi anggota dari Angkatan Tentera Malaysia dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB). – airtimes.my