Home Semasa Permohonan undi pos bagi PRN 6 negeri dibuka 15 Jun – SPR

Permohonan undi pos bagi PRN 6 negeri dibuka 15 Jun – SPR

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 9 Jun – Permohonan undi pos dalam dan luar negara bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi negeri Sembilan, Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Kelantan dan Terengganu akan dibuka mulai 15 Jun ini.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, permohonan undi pos bagi semua kategori iaitu Kategori 1A (petugas pilihan raya, anggota/pegawai SPR dan petugas media), Kategori 1B (warganegara Malaysia yang tinggal di luar negara) dan Kategori 1C (agensi/organisasi) perlu dibuat secara dalam talian di https://myspr.spr.gov.my.

“Walau bagaimanapun, bagi anggota polis dan tentera di bawah Kategori 1A, kaedah permohonan undi pos dikekalkan secara manual menggunakan Borang 1A yang boleh dimuat turun dari portal https://www.spr.gov.my mulai 15 Jun 2023 (Khamis),

“Borang 1A ini hendaklah diserahkan kepada pegawai pengurus Bahagian Pilihan Raya pemohon mengundi selepas mendapat perakuan oleh ketua jabatan masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pemilih yang layak dan berhasrat untuk mengundi secara pos hendaklah mendaftar atau mempunyai akaun MySPR sebelum membuat permohonan undi pos.

Sehubungan itu, SPR menggalakkan mereka untuk mendaftar lebih awal bagi mengelakkan sebarang masalah sekiranya pendaftaran akaun mySPR ini dibuat pada saat-saat akhir.

Menurut Ikmalrudin, tarikh tutup permohonan undi pos bagi Kategori 1A ialah 3 hari sebelum hari penamaan calon, Kategori 1B pula ialah 3 hari selepas mesyuarat khas manakala bagi Kategori 1C, 6 hari selepas mesyuarat khas.

“Tarikh mesyuarat khas urusan PRN bagi penetapan tarikh-tarikh penting termasuk tarikh tutup permohonan undi pos dalam dan luar negara akan dimaklumkan kelak,” katanya.

Sementara itu, bagi penghantaran kertas undi pos kepada pengundi tidak hadir (PTH) luar legara, beliau berkata, mereka perlu menghubungi SPR bagi menyemak alamat luar negara yang disimpan dalam rekod SPR serta mengemas kini alamat tersebut sekiranya telah berpindah atau telah kembali ke Malaysia.

Menurutnya, PTH luar negara boleh menghubungi talian 03-8892 7218 atau e-mel ke [email protected] selewat-lewatnya pada 23 Jun ini.

Sebarang pertanyaan atau keterangan lanjut boleh hubungi talian 03-8892 7218 atau 03-8892 7200.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply