[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=4ybvwYvp8uQ[/embedyt]
KUALA LUMPUR, 9 Jun – Pembinaan jambatan Compact Bailey 200 oleh 91 Rejimen Bantuan, Askar Jurutera Diraja (91 RAJD) pada 13 Januari 2021 telah memberikan nafas lega kepada para penduduk setempat untuk meneruskan kehidupan mereka.
Jambatan sepanjang 33 meter panjang dan 7.3 meter lebar itu telah menghubungkan semula 3 lokasi terjejas iaitu Kampung Serengkam, Sri Makmur dan Sri Jaya serta telah dimanfaatkan kepada lebih 2,600 penduduk di kawasan berkenaan.
Kini, setelah lebih 2 tahun penggunaannya, jambatan sementara itu dibuka semula pada 7 Jun lalu bagi memberi laluan kepada pembinaan jambatan kekal yang roboh pada 3 Januari 2021.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung, Projek Penyusunan Semula Kampung (JPKK PPSK) Sri Makmur, Mohd Najib Harun ketika ditemui berkata, jambatan tersebut telah memudahkan urusan penduduk di beberapa kampung yang sering menggunakan laluan berkenaan.
“Dengan adanya jambatan Bailey ini, ia dapat memudahkan penduduk di sekitar kampung menjalankan aktiviti harian mereka,
“Jalan ini juga merupakan laluan utama kepada kenderaan yang membawa hasil kelapa sawit untuk keluar masuk menghantar ke kilang-kilang yang berdekatan,
“Kami sangat berbesar hati, dengan adanya bantuan RAJD yang memasang jambatan ini selama 2 tahun telah digunakan oleh penduduk setempat yang mana dapat meringankan kesukaran perjalanan mereka,” katanya kepada Air Times baru-baru ini.
Mohd Najib yang juga merupakan pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut meluahkan meluahkan rasa bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan serta pihak yang terlibat yang telah bertungkus-lumus menyiapkan pembinaan termasuk membuka semula jambatan sementara itu.
“Saya mewakili penduduk kawasan sekitar mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kementerian Pertahanan (MINDEF), ATM dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Maran yang mana bersama membantu meringankan beban kami,
“Terima kasih kepada anggota RAJD yang telah bertungkus lumus menyiapkan jambatan ini sehinggalah boleh digunakan oleh penduduk kampung sekitar kawasan ini selama 2 tahun,
“Walaupun jambatan berakhir setakat ini, namun tidak berakhir dihati kami,” ujarnya lagi.
Sementara itu, pemandu lori, Mohd Arif Ahmadan turut berkata, pembinaan jambatan sementara ini telah menjimatkan masa perjalanannya ketika menghantar hasil kelapa sawit berbanding terpaksa melalui jalan yang agak jauh untuk ke kilang Sri Senggora.
“Kebiasaanya kami mengutip kelapa sawit di kawasan Tanjung Gemok, Temerloh, Jerantut dan Pekan. Jadi hari-hari saya gunakan laluan ini, kalau tak ada laluan ini, kami akan susah, jalan jadi jauh,
“Macam hari itu jambatan itu runtuh, kami terpaksa menggunakan laluan yang jauh contoh dari Sri Jaya ke Gambang terus ke Pelak dan pusing balik masuk ke Sri Makmur. Ia jadi jauh,
“Ia memakan masa lebih dari 1 jam dan penggunaan minyak akan rugi,” jelasnya lagi.
Pada 13 Januari 2021, ATM telah membina jambatan Bailey Compact 200 sebagai jambatan sementara di Kampung Belimbing, Maran, Pahang, selepas jambatan lama runtuh akibat arus deras sungai pada 3 Januari 2021.
Jambatan yang dikordinasikan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) ini dibina oleh anggota 91 Rejimen Bantuan, Rejimen Askar Jurutera Diraja (91 RAJD) dan 2 Skuadron Rejimen Askar Jurutera Diraja (2 Skn RAJD).
Selain itu, pembinaan jambatan ini turut melibatkan pihak JKR Maran, Jabatan Perhutanan Maran, Pejabat Tanah dan Daerah Maran. -airtimes.my