Home Semasa Tuntutan veteran akan dibawa sebagai usul dan bahas Bajet 2024

Tuntutan veteran akan dibawa sebagai usul dan bahas Bajet 2024

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 10 JUN – Isu kebajikan dan tuntutan veteran akan terus dibawa ke parlimen untuk dibahaskan di Dewan Rakyat.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan dalam satu sidang media hari ini.

“Saya akan berbincang dengan Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari untuk kita tengok sama ada perlu dibawa usul (ke Parlimen),

“Ataupun mungkin, (bahaskan) dalam pembentangan Bajet pada bulan 10 ini,” katanya selepas menghadiri Simposium Bekas Tentera & Warganya di Kelab Sultan Sulaiman.

Menurut beliau, sebahagian daripada tuntutan para veteran akan dimasukkan dalam perbahasan belanjawan oleh beliau.

“Jadi saya boleh kemuka soalan atau bawa dalam perbahasan, saya boleh bertanya kepada Menteri atau Timbalan Menteri,” katanya.

Terdahulu, seramai 250 warga veteran ATM hadir ke simposium yang berlangsung selama 6 jam di Kampung Baru anjuran Sekretariat NGO Gabungan KIPIDAP.

Sementara itu, Sany menyatakan beliau maklum soal penyelarasan pencen bagi veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Perkara ini dah kita bawa dan sebenarnya pun Menteri pun dah jawab. Cuma saya dimaklumkan tadi oleh Tuan Haji Mior, maksudnya persatuan tidak berpuas hati dengan jawapan dan juga tindakan yang diberikan oleh Menteri,

“Saya rasa ini merupakan perjuangan kita bersamalah. Saya sebagai Ahli Parlimen, kuasa untuk menentu ini tak ada pada saya,

“Tapi saya boleh bawa kepada pengetahuan kerajaan,” katanya.

Beliau menambah, terdapat beberapa tuntutan telah dibawakan kepada beliau. Namun, tuntutan penyelarasan pencen adalah perkara utama.

Sementera itu, Pengerusi PSPRM, Mior Rosli menyatakan jawapan bertulis oleh Menteri Pertahanan pada 25 Mei 2023 lalu telah menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan veteran.

“ Dato’ Mejar Jeneral Khlir (Bersara) bertanyakan soalan tentang penyelarasan pencen,

“Jawapan dia pendek sahaja tetapi barisan pertama (jawapan) itu kami tak puas hati,” katanya.

Semakan Air Times mendapati, perkara yang disentuh adalah No Soalan 20 Pemberitahuan Pertanyaan Dewan Rakyat bertarikh 25 Mei 2023 yang dikemukakan oleh wakil rakyat Ketereh kepada Menteri Pertahanan.

“Dia kata, Kementerian Pertahanan tiada sebarang data berkaitan bilangan sebenar veteran ATM yang menuntut penyelarasan pencen. Ayat itu!

“Kementerian Pertahanan tak tahu berapa orang yang nak tuntut perjalanan pencen.

Logik ke kalau kita fikir macam itu?” katanya.

Menurut beliau, Kementerian Pertahanan mempunyai akses kepada rekod melalui Jabatanarah Rekod dan Pencen (JRP).

“Data orang yang masuk askar, yang pertama masuk askar dulu pun ada rekod di dalam sana. Kenapa ini jawapan yang dia beri?

“Seolah-olahnya macam, kita nak tunggu dulu sebab kita tak tahu berapa orang yang tuntut. Mustahil jawapan macam ini. Itu yang saya tak puas hati,” ujar beliau. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply