Home PolitikPAS /PPBM / LAIN Anwar ‘sesumpah politik’ yang semakin ditolak rakyat

Anwar ‘sesumpah politik’ yang semakin ditolak rakyat

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 15 Mei – PAS menyifatkan kerajaan gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dibawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti ‘sesumpah politik’ yang boleh berubah bila-bila masa.

Ketua Penerangannya, Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, perubahan itu termasuk menggadaikan prinsip dan janji yang dilaungkan sebelum ini.

Jelasnya, ia berlaku semata-mata bagi memenuhi kerakusan nafsu mereka untuk terus berkuasa.

“Sikap cakap tidak serupa bikin ini yang menjadikan gelombang penolakan rakyat kepada Perdana Menteri terus kuat dan membesar apabila semakin ramai yang tersedar dengan penipuan demi penipuan oleh sosok tubuh yang dahulunya dijulang sebagai hero negara,

“Rakyat tidak lupa kepada janji manis untuk menurunkan harga minyak dalam masa 24 jam selepas menjadi Perdana Menteri yang kali terakhir dilaungkan dengan penuh angkuh ketika Kongres Nasional PKR pada 17 Julai 2022,

“Namun sehingga ke hari ini janji manis itu terus tinggal janji. Lebih perit lagi, Perdana Menteri pada 6 Mac yang lalu menyatakan bahawa kerajaan tiada berhasrat untuk menurunkan had harga siling petrol di negara ini,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya pada Ahad

Khairil Nizam menjelaskan, Anwar pada 22 Disember tahun lalu pernah menegaskan bahawa kerajaan akan menghentikan penganjuran majlis besar-besaran bagi mengelakkan pembaziran wang kerajaan.

Namun, ujarnya, syawal tahun ini tetap diadakan majlis tersebut yang bukan sekadar satu bahkan digandakan kepada enam majlis rumah terbuka kerajaan di negeri berbeza.

“Ia jelas menyanggah prinsip penjimatan wang kerajaan yang dilaungkan beliau beberapa bulan yang lalu,

“Bukan sekadar itu, rakyat juga masih ingat laungan prinsip Anwar yang tegas menolak nepotisme dan kronisme di dalam pentadbiran,

“Namun prinsip tersebut tergadai begitu sahaja apabila Perdana Menteri itu melantik anaknya sendiri sebagai penasihat selain lantikan politik bertimbun-timbun yang telah dibuat oleh kerajaan pada hari ini,” ujarnya lagi.

Mengulas lanjut, Khairil Nizam berkata, semua tindak-tanduk Anwar ini hanya menambah kebencian rakyat kepadanya.

“Penipuan yang jelas, terang lagi nyata yang berterusan ini adalah satu penghinaan kepada rakyat Malaysia lebih-lebih lagi Malaysia adalah sebuah negara dengan masyarakat yang sangat menekankan aspek menepati janji,

“Bak kata pepatah ‘kerbau dipegang pada talinya, manusia dipegang pada janjinya’,” tegasnya.

Tambahnya, mempunyai seorang Perdana Menteri yang terus menerus tanpa gagal memungkiri janji dan prinsip yang dilaungkan sebelum ini bukanlah perkara yang baik untuk masa depan negara. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply