Home SemasaGlobal AS fokus jual F-16 kepada Manila, mahu perkuat keupayaan Tentera Udara Filipina

AS fokus jual F-16 kepada Manila, mahu perkuat keupayaan Tentera Udara Filipina

by M.Daim

MANILA, 17 APRIL – Pihak kerajaan Filipina dan Amerika Syarikat dijangka akan memberikan fokus penjualan jet pejuang F-16 kepada negara kepulauan itu.

Penjualan jet pejuang keluaran Lockheed Martin itu merupakan antara perkara yang dibincangkan oleh wakil kerajaan kedua-dua negara di Washington pada 11 April lalu.

Lampiran Fakta (Fact Sheet) yang dikeluarkan bersempenan US-Philippines 2+2 Ministreal Dialogue itu menyatakan “usaha mempertingkatkan keupayaan pertahanan”.

“Amerika Syarikat dan Filipina akan mengutamakan modenisasi keupayaan pertahanan bersama melalui pelbagai mekanisme,” kata kenyataan itu.

Menurutnya, mekanisme yang digariskan termasuklah  U.S. Foreign Military Financing dan Excess Defense Articles.

“Antaranya adalah untuk mengadakan perbincangan secara berfokus mengenai rancangan perolehan untuk pesawat pejuang pelbagai peranan kepada Tentera Udara Filipina,” kata lampiran itu.

Manila telah memulakan kempen perolehan jet pejuang pada pertengahan 2022 lalu selepas Presiden Filipina ketika itu, Rodrigo Duterte meluluskan pelan tersebut.

Panglima Tentera Udara Filipina pada ketika itu, Leftenan Jeneral Connor Anthony Canlas Sr. menyatakan pihaknya sedang memilih untuk memperoleh jet pejuang generasi ke-4 termasuk F-16 dan JAS-39 Gripen.

Pada ketika ini, Filipina mengoperasikan jet pejuang FA-50 keluaran Korea Aerospace Industries sebagai taring utama kekuatan udara negara itu.

Pada tahun 24 Jun 2021, Washington telah meluluskan penjualan F-16 termasuk sistem persenjataan kepada Filipina.

Kelulusan penjualan bernilai lebih US$2 bilion itu merangkumi 10 buah F-16C dan 2 F-16D. Kedua-dua model yang ditawarkan adalah dari Block 70/72.

Dalam notis yang berlainan dikeluarkan oleh DSCA, Filipina turut mendapat kelulusan untuk memperolehi 24 peluru berpandu AIM-9X Block II Sidewinder dan 12 misil anti kapal AGM-84L-1 Harpoon Block II.

Penjualan melalui Foreign Military Sales (FMS) melibatkan kelulusan akhir Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat. Walaupun begitu, notis kelulusan yang dikeluarkan oleh DSCA tidak menyatakan penjualan tersebut telah muktamad sehingga kontrak yang berkaitan telah dimeterai.  – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply