KUALA LUMPUR, 20 Mac – Aktivitis politik, Badrul Hisham Shaharin mendakwa wujudnya konspirasi untuk melindungi Menteri Belia dan Sukan (KBS), Hannah Yeoh berkenaan isu program ‘Jom Ziarah Gereja’ yang dianjurkan oleh Impact Malaysia iaitu sebuah agensi di bawah kementerian itu.
Badrul yang lebih dikenali sebagai CheguBard berkata, ia berdasarkan laporan kes tidak disiasat dan kaum pegawai polis yang mengambil keterangannya dan Hannah.
Menurutnya, laporan polis Hannah terhadapnya diserahkan kepada seorang inspektor Cina, manakala laporannya terhadap Hannah diberi kepada inspektor India.
“Tidak terkejut apabila laporan polis Menteri DAP (Hannah) ke atas saya sengaja diberikan Pegawai Penyiasatnya Inspektor Wong Juen Ching dan laporan polis saya ke atas Hannah pula diberikan Pegawai Penyiasatnya Inspektor Ragu,
“Kedua dua pegawai bukan Islam. Namun saya yakin ia bukan keputusan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebaliknya tekanan atasan,
“Saya ada syak yang kuat pihak PDRM sedang ditekan terlibat untuk menutup jenayah Menteri DAP. Beberapa hari ini Polis Sentul keluar kenyataan ke arah gambarkan saya yang fitnah,” katanya dalam satu kenyataan selepas hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, hari ini.
Badrul turut menegaskan, beliau tidak menentang agama lain namun tindakan mempromosi agama lain kepada orang Islam adalah salah.
Sebelum ini, CheguBard mendakwa Ahli Segambut itu menjalankan program Kristian evangelis menerusi acara ‘Jom Ziarah Gereja’.
Acara tersebut adalah sebahagian daripada program kunjungan golongan muda ke rumah ibadat pelbagai agama untuk memupuk pemahaman mereka berkenaan agama lain.
Namun, Hannah menafikan dakwaan terdapat unsur Kristian evangelis dan membuat laporan polis terhadap Badrul.
Dalam masa yang sama, Hannah menegaskan Projek Artikel 11 Jom Ziarah Gereja itu tidak melibatkan belia beragama Islam.
Beliau turut menyangkal program berkenaan adalah usaha untuk menjadikan semua agama setaraf sebagaimana dakwaan segelintir pihak.
Sementara itu, media melaporkan, Ketua Polis Sentul, Beh Eng Lai, berkata, Hannah juga akan dipanggil dalam masa terdekat untuk dirakam percakapan berhubung kes tersebut.-airtimes.my