Home SemasaGlobal Su-27 sembur minyak, langgar UAV MQ-9 Amerika Syarikat

Su-27 sembur minyak, langgar UAV MQ-9 Amerika Syarikat

by M.Daim

RAMSTEIN, 15 Mac – Pihak pemerintahan tentera Amerika Syarikat di Eropah (US European Command, EUCOM) hari ini mengesahkan sebuah pesawat tanpa pemandu milik mereka, MQ-9 telah terhempas di kawasan perairan Laut Hitam.

Menurutnya dalam satu kenyataan, kejadian berlaku semasa UAV tersebut melakukan penerbangan tinjauan di kawasan perairan antarabangsa.

“Sebuah jet pejuang tentera udara Rusia, Su-28 telah memintas MQ-9 dan telah terlanggar propeler UAV,

“Sebelum pelanggaran berlaku, Su-27 telah melakukan penerbangan secara berbahaya dan ‘membuang minyak’ di hadapan MQ-9,” kata Jeneral James B. Hecker, Komander Tentera Udara Amerika Syarikat di Eropah dan Afrika dalam kenyataan itu.

Menurut beliau, pelanggaran tersebut telah menyebabkan MQ-9 hilang kawalan dan terhempas di laut.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat, Brigadier jeneral Pat Ryder menyatakan pihak Washington telah berhubung dengan Moskow berkenaan dengan insiden itu.

Menurut beliau, penerbangan MQ-9 terbabit adalah rutin dan telah lama dilakukan sebelum Perang Ukraine-Rusia berlaku.

“Pesawat UAV tersebut sedang melakukan penerbangan ISR dan ia telah lama dilakukan di kawasan perairan antarabangsa,

“Pelanggaran ini mungkin menyebabkan kerosakan pada Su-27 dan kami tahu pesawat terbabit telah berjaya mendarat,” katanya dalam sidang media di Pentagon.

Sementera itu, Kementerian Pertahanan Rusia mengesahkan insiden terbabit belaku pada 7.30 pagi waktu Eropah Tengah, 14 Mac 2023.

“UAV tersebut dikesan terbang di Laut Hitam, berhampiran Semenanjung Crimea dan terbang ke arah sempadan Rusia,

“Jet pejuang telah dihantar untuk mengesan dan memintas UAV terbabit,” katanya.

Menurut Moskow, UAV tersebut terbang dengan transponder yang telah ditutup dan melanggar peraturan zon udara di kawasan operasi khas tentera.

“Tiada sebarang senjata digunakan untuk menjatuhkan MQ-9,” katanya yang turut menjelaskan jet-jet pejuang yang dihantar telah selamat mendarat.

Pihak Tentera Udara Ukraine menegaskan kawasan perairan Laut Hitam adalah kawasan perairan antarabangsa dan bukannya “laut yang dimiliki Rusia”.

“Pesawat Amerika beroperasi telah lama beroperasi di Laut Hitam dan ia merupakan kawasan perairan terbuka,

“Kawasan ini turut digunakan oleh mana-mana negara termasuk Turkiye dan Romania,

“Ruang udara kawasan laut ini merupakan ruang udara antarabangsa dan mana-mana pesawat boleh melakukan penerbangan termasuk untuk tujuan tinjauan,” kata Yurii Ihnat yang dipetik oleh Pravda.

Menurut Ihnat, kejadian berlaku di kawasan ruang udara antarabangsa, tenggara Pulau Zmiiny. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply