Home PolitikPAS /PPBM / LAIN Pengosongan DUN Pulau Pinang bermotif politik, salah guna kuasa – Hamzah Zainuddin

Pengosongan DUN Pulau Pinang bermotif politik, salah guna kuasa – Hamzah Zainuddin

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 7 Mac – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menyifatkan keputusan pengosongan kerusi 4 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Pinang merupakan satu penyalahgunaan kuasa dan jelas bermotifkan politik.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, ia terutamanya melibatkan 2 ADUN BERSATU iaitu Khalid Mahtab Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Lazim (Teluk Bahang) yang tidak pernah melakukan apa-apa perkara boleh menyebabkan kerusi mereka perlu dikosongkan di bawah Artikel 14A.

“Kedua-dua ADUN ini tidak pernah pada bila-bila masa meletak jawatan atau dipecat daripada parti atau telah menyertai parti politik lain. Mereka kekal sebagai ahli Bersatu sehingga kini,

“Tindakan DUN Pulau Pinang bukan sahaja jelas satu penyalahgunaan kuasa, malah pada hakikatnya tidak menghormati lunas-lunas demokrasi serta dilihat sebagai satu pencabulan undang-undang,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Selain itu, beliau menjelaskan, 2 lagi wakil rakyat BERSATU juga mengalami nasib sama iaitu Dr. Afif Bahardin (Seberang Jaya) dan Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh).

“Hak demokrasi rakyat dan pengundi telah dinafikan. Ini adalah suatu rampasan kuasa pengundi oleh DUN Pulau Pinang dengan berselindung di sebalik undang-undang,

“Walaupun BERSATU menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang yang menolak permohonan keempat-empat ADUN ini, kami dinasihatkan dan mempercayai bahawa mahkamah terkhilaf dalam menafsirkan pemakaian Artikel 14A ke atas mereka,

“BERSATU telah memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan terhadap keputusan tersebut,” katanya lagi.

Semalam, DUN Pulau Pinang telah membahaskan dan meluluskan usul bagi mengisytiharkan pengosongan 4 kerusi ADUN.

Mesyuarat Ketiga Penggal kelima DUN Pulau Pinang Ke-14 semalam menyaksikan Speaker, Datuk Law Choo Kiang membenarkan usul itu dicadang dan dibahaskan terlebih dahulu, selepas mengambil kira kepentingannya yang berkaitan dengan Perlembagaan Negeri Pulau Pinang serta berikutan keputusan mahkamah berkenaan enakmen anti lompat parti, 2 Mac lepas. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply