KAJANG, 10 Feb – Kelab Pegawai Rejimen Askar Melayu DiRaja (KPRAMD) telah menganjurkan Majlis Bacaan Yassin dan Tahlil Khas sempena memperingati Allahyarham Leftenan Datuk Adnan Saidi serta anggotanya yang telah gugur dalam mempertahankan negara.
Setiausaha Kerja, Kelab Pegawai RAMD, Leftenan Kolonel (Bersara) Mohd Yassin Usup memaklumkan, program tersebut telah berlangsung malam tadi dengan dihadiri ahli-ahli KPRAMD, ahli-ahli Persatuan Veteran ATM Cawangan Kajang serta Jemaah setempat.
Beliau berkata, selaku Persatuan Veteran Terkanan RAMD, pihaknya sentiasa memperingati akan peristiwa tersebut dengan mengadakan Majlis Tahlil dan Doa Selamat khas pada tanggal 14 Februari setiap tahun yang ditujukan kepada Allahyarham dan semua anggotanya yang terkorban.
Jelasnya, majlis ini selalunya dilaksanakan di Masjid Kem Sungai Besi, namun untuk tahun 2023, KPRAMD menganjurkannya di Masjid Kampung (Kg) Sungai (Sg) Ramal Luar, iaitu kampung tempat kelahiran Allahyarham Lt Adnan.
“Majlis yang dianjurkan dengan kerjasama Masjid Kg Sg Merab ini juga bertujuan untuk memberikan kesedaran kepada penduduk persekitaran tentang pengorbanan Allahyarham dalam mempertahankan kedaulatan Negara khasnya dan RAMD amnya,
“Majlis telah diadakan pada 9 Februari 2023 mulai dari Solat Maghrib dan diikuti dengan Bacaan Yaasin dan Tahlil. Majlis dihadiri oleh Ahli-Ahli KPRAMD, Ahli-Ahli Persatuan Veteran ATM Cawangan Kajang, serta Jemaah setempat,” jelasnya dalam kenyataan pada Jumaat.
Turut hadir, Presiden KPRAMD, Brigedier Jeneral Datuk Ahmad Zaki Mahmud (B) dan murid-murid
Tingkatan 5 Sekolah Menengah Sungai Ramal Luar.
Sempena dengan Majlil Bacaan Yaasin dan Tahlil ini juga, KPRAMD telah menyampaikan sumbangan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Leftenan Adnan (SKLA), PIBG Sekolah Menengah Sg Ramal Luar dan juga Masjid Sg Ramal Luar. -airtimes.my