Pada tanggal hari ini lima tahun lalu, 14 Februari ditetapkan sebagai Hari Pahlawan peringkat Tentera Darat (TD) bagi memperingati dan menghargai pejuang yang gugur.
Ia sempena tarikh gugurnya wira pegawai Askar Melayu, Leftenan Adnan Saidi pada 14 Februari 1942 di Bukit Candu, Singapura dalam pertempuran akhir sebelum Malaya jatuh ke tangan tentera Jepun.
Pengumuman tersebut dibuat Panglima Tentera Darat ketika itu, Jeneral Tan Sri Zulkiple Kassim selepas Upacara Perbarisan dan Perutusan Hari Tentera Darat Ke-85 di Padang Kawad Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda).
Pusasda atau dulunya dikenali sebagai Depoh Askar Melayu iaitu sebagai tempat melatih dan melahirkan perajurit-perajurit muda.
Hingga hari ini Pusasda kekal fungsinya sebagai ‘kilang’ mengeluarkan lebih ramai anak-anak watan untuk menggalas cabaran sebagai wira negara dalam pelbagai lapangan kemahiran.
Bagaimana pun, kita kurang pasti adakah masih ada upacara khusus pasa 14 Februari ini sebagai Hari Pahlawan sebelum tibanya hari besar, 1 Mac iaitu Hari TD.
Apabila bercakap tentang hari memperingati pahlawan, jasa dan pengorbanan mereka yang dikenang ini meliputi semua semua pejuang yang terkorban tanpa mengira status dan pangkat.
Begitu jugalah dengan nama Leftenan Adnan, beliau diangkat sebagai simbolik keberanian dan kegagahan pejuang tanah air khususnya Askar Melayu dan TD.
Ini kerana, sejarah Perang Dunia Kedua telah mencatatkan ramai lagi nama-nama wira Askar Melayu, cuma nama mereka tidak semerbak Adnan dalam konteks diingati masyarakat termasuklah warga TD sendiri.
Malah, lebih ramai nama-nama pejuang Askar Melayu ini yang berkorban sama seperti Adnan tetapi tidak pernah disebut langsung dalam acara-acara atau hari memperingati perjuangan TD semasa peperangan tersebut.
Walaupun Leftenan Adnan diangkat sebagai wira Perang Dunia Kedua, namun kita seharusnya tidak lupa pada pahlawan-pahlawan lain.
Mereka termasuklah daripada Pasukan Sukarela Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (FMSVF).
Apabila pihak berikat menyerah kalah, kira-kira 400 orang Askar Melayu termasuk pegawai menjadi tawanan perang dan dikumpulkan di Ferrer Park, Singapura tetapi dibebaskan beberapa hari kemudian kecuali pegawai.
Satu peristiwa tragis berlaku selepas dua minggu penahanan mereka apabila lapan pegawai Askar Melayu termasuk FMSVF ditembak mati kerana enggan menanggalkan pakaian seragam dan lencana pangkat sebagai tanda menyerah kalah.
Mereka ialah Kapten Raja Aman Shah Raja Harun Al-Rashid, Lt Ariffin Sulaiman, Lt Ibrahim Sidek, Lt Abd Wahid Judin, Datuk Naning iaitu Lt Datuk Othman Kering, Lt Muda Ahmad Noordin dan Lt Muda Md Isa Mahmud.
Tanggal 28 Februari 1942, pegawai-pegawai ini dipercayai telah ditembak mati.
Ariffin, Ibrahim dan Abd Wahid merupakan pegawai kanan Askar Melayu yang semasa disoal siasat tetap berkeras enggan menurut perintah tentera Jepun.
Mayat dengan tangan berikat ini ditinggalkan di tempat mereka ditembak iaitu di satu kawasan yang sebelumnya merupakan tempat perlindungan serangan udara di kaki bukit dekat Bedok.
Kapten Raja Aman Shah merupakan kerabat diraja Perak yang juga menantu Sultan Kedah, Sultan Abdul Hamid Halim Shah.
Pegawai Daerah Port Dickson ini melepaskan jawatan untuk bersama-sama pasukannya iaitu Bn Ketiga Negeri Sembilan sebaik peperangan meletus.
Semasa dalam tahanan, Kapten Raja Aman Shah menolak peluang untuk dibebaskan semata-mata kesetiaan untuk bersama-sama pegawai tentera Melayu yang ditahan.
Kapten Raja Aman Shah serta nama-nama pahlawan tanpa pusara ini telah diabadikan pada Tugu Peringatan Singapura di Memorial Perang Kranji.
Seorang lagi pegawai yang dipercayai ditembak mati ialah Lt Yazid Ahmad, yang sebelumnya pegawai FSMVF di Sultan Idris Training College, Tanjung Malim (kini UPSI).
Yazid yang merupakan tenaga pengajar di SITC berpangkat kapten dalam FSMVF sebelum dia memilih untuk diserapkan ke dalam Batalion Kedua Askar Melayu dengan pangkat Leftenan.
Ada yang mengatakan Lt Yazid dibawa ke Siam untuk menjadi buruh membina landasan keretapi dan meninggal dunia di sana, namun tiada bukti jelas mengenainya.
Lt Yazid juga antara tiga pegawai Askar Melayu yang diangkat sebagai wira dalam Pertempuran Muar apabila berjaya menyelamatkan 2,000 anggota tentera berikat yang dikepung Jepun di Pantai Punggur, Batu Pahat pada 1942.
Allahyarham bersama Leftenan Ibrahim Alla Ditta, dan Leftenan Muda Ali Sharakat yang kesemuanya adalah pegawai dari Kompeni D, Batalion Kedua Askar Melayu.
Kisah ini ditulis Allahyarham Tan Sri Abdul Samad Idris dalam bukunya ‘Askar Melayu 50 Tahun’.
Lt Ibrahim selaku ketua menunjukkan keberaniannya apabila menyusup masuk ke dalam kawasan tentera Jepun untuk mendapatkan maklumat perisikan.
Beliau menyertai semula pasukan tentera berikat yang terkepung di pantai terbabit dan berkongsi maklumat bagi membolehkan pihak berikat berusaha melepaskan diri mereka daripada kepungan itu.
Hasilnya, dua kapal perang iaitu HMS Dragonfly dan HMS Scorpion dihantar ke kawasan pantai terbabit dan menyelamatkan semua 2,000 tentera berikat dari kepungan sebelum selamat dihantar ke Singapura.
Peristiwa kepungan di Pantai Punggur ini lebih dikenali sebagai Dunkirk Malaya, iaitu seolah-olah sama sepertimana peristiwa tentera British terkepung di pantai Dunkirk, Perancis di awal Perang Dunia Kedua.
Lt Ibrahim menjadi satu-satunya pegawai Askar Melayu yang menerima pingat Military Cross semasa Perang Dunia Kedua yang dianugerahkan pada tahun 1946 di atas keberaniannya itu.
Mengikut catatan sejarah, seramai 16 pegawai British, lapan pegawai Melayu dan 146 anggota Rejimen Askar Melayu terkorban semasa Perang Dunia Kedua. Pengorbanan mereka tidak dilupakan.
Tanggal 14 Februari terus diingati sebagai Hari Pahlawan TD dengan simbolik pada gugurnya Lt Adnan, namun ratusan mereka yang gugur termasuk tanpa nisan perlu sama diingati dan sejarahnya wajar diangkat.