Home Semasa Mangsa banjir Johor, Sabah meningkat

Mangsa banjir Johor, Sabah meningkat

by Bernama

KUALA LUMPUR, 2 Feb – Jumlah mangsa banjir di Sabah dan Johor meningkat sedikit daripada 1,666 orang malam tadi kepada 1,735 pagi ini.

Di SABAH, bilangan mangsa meningkat kepada 758 orang daripada 220 keluarga di 15 pusat pemindahan sementara (PPS), berbanding 690 orang daripada 204 keluarga malam tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JBPN) dalam kenyataan memaklumkan mangsa teramai ialah di Telupid dengan 425 orang daripada 120 keluarga yang dipindahkan ke lapan PPS.

“Seramai 123 orang daripada 46 keluarga dipindahkan ke tiga PPS di Paitan, di Beaufort seramai 118 orang daripada 33 keluarga di satu PPS, di Beluran seramai 47 orang daripada sembilan keluarga di dua PPS dan Lahad Datu seramai 45 orang daripada 12 keluarga di satu PPS.

“Mangsa banjir di Paitan dan Beluran dijangka meningkat manakala daerah lain dijangka kekal,” menurut kenyataan itu.

Di JOHOR, jumlah mangsa banjir di tiga daerah meningkat sedikit kepada 977 orang setakat 8 pagi ini berbanding 976 malam tadi.

Sekreteriat JPBN memaklumkan sebanyak 10 PPS yang menempatkan 273 keluarga masih beroperasi di Batu Pahat, Kota Tinggi dan Segamat.

“Batu Pahat masih mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 873 orang, diikuti Segamat (63) dan Kota Tinggi (41),” menurut jawatankuasa itu.

Sementara itu, Sungai Bekok di Batu Pahat masih merekodkan tahap bahaya dengan bacaan 18.75 meter dan menunjukkan trend peningkatan. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply