Home Semasa Kabinet Sabah: Bung gugur, Shahelmey dilantik jadi Timbalan Ketua Menteri

Kabinet Sabah: Bung gugur, Shahelmey dilantik jadi Timbalan Ketua Menteri

by Nurulhuda

KOTA KINABALU, 11 Jan – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin sah digugurkan daripada jawatan Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Kerja Raya.

Jawatannya digantikan oleh Shahelmey Yahya, ADUN Barisan Nasional (BN) Tanjung Keramat, yang akan menyandang 2 portfolio itu.

Selain Bung, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor turut mengugurkan 2 lagi ADUN BN yang sebelum ini memegang jawatan menteri iaitu ADUN Sukau Jafry Ariffin dan ADUN Karambunai Yakub Khan.

Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Jeffrey Kitingan kini sebagai Timbalan Ketua Menteri I serta mengekalkan jawatan Menteri Pertanian dan Perikanan yang disandang beliau sebelum ini.

Jawatan Timbalan Ketua Menteri II pula disandang oleh Adun Kundasang, Dr Joachim Gunsalam dari Parti Bersatu Sabah (PBS). Beliau juga dilantik sebagai menteri kerajaan tempatan dan perumahan.

Rombakan hari ini menyaksikan BN kini menduduki tempat ketiga sebagai Timbalan Ketua Menteri berbanding Bung Moktar yang menjawat Timbalan Ketua Menteri I sebelum ini.

Jafry sebelum ini memegang jawatan menteri pelancongan, kebudayaan dan alam sekitar manakala Yakub sebagai menteri sains, teknologi dan inovasi.

Turut dilantik menganggotai barisan kabinet Sabah dan mengangkat sumpah jawatan masing-masing di hadapan Yang Dipertua Negeri Sabah Juhar Mahiruddin ialah 2 wajil rakyat Pakatan Harapan (PH).

Mereka ialah Christina Liew (PKR-Api-Api), Phoong Jin Zhe (DAP- Luyang).

Liew dilantik sebagai menteri pelancongan, kebudayaan dan alam sekitar manakala Phoong sebagai menteri pembangunan perindustrian.

Hajiji yang sebelum ini turut memegang portfolio Menteri Kewangan melepaskan jawatan itu dan menyerahkan sepenuhnya kepada ADUN Karanaan, Datuk Masidi Manjun.

Masidi sebelum ini adalah Menteri Kewangan II dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan.

Sementara itu, Hajiji dalam kenyataan berkata, rombakan Kabinet adalah sesuatu yang perlu bagi mengukuhkan kerajaan negeri sekarang. Untuk itu, negeri memerlukan satu pasukan yang kuat.

“Menyedari keperluan untuk membentuk satu pentadbiran inklusif, saya telah memasukkan ADUN dari PH ke dalam Kabinet selain wakil dari UMNO/BN dan GRS,

“Adalah penting bagi kerajaan negeri di bawah pimpinan saya dapat berfungsi sebagai satu pasukan yang bersatu padu, dengan berkongsi aspirasi sama yang dibina atas kepercayaan dan saling menghormati,” katanya.

Hajiji turut berkata, kerajaan negeri berazam untuk mempunyai pemimpin yang punya iltizam yang sehaluan dan menghargai setiap keperluan bagi memastikan usaha membangunkan negeri berjalan lancar tanpa sebarang gangguan seperti yang diharapkan oleh rakyat.

Tambahnya, kestabilan politik adalah penting untuk mencapai matlamat ini.

“Bersama satu pasukan yang kukuh, kami akan memastikan pelaburan dinamik kerajaan negeri dapat dikekalkan, seterusnya meningkatkan keyakinan pelabur di samping dapat menarik lebih ramai lagi untuk datang melabur ke Sabah,

“Kita perlu memastikan momentum pembangunan kita terus maju ke hadapan dan seterusnya dapat memenuhi janji-janji pilihan raya kita kepada rakyat dan negeri,” ujarnya lagi. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply