Home PolitikPAS /PPBM / LAIN Dakwaan seleweng dana kerajaan RM92.5 bilion satu pembohongan besar – Muhyiddin

Dakwaan seleweng dana kerajaan RM92.5 bilion satu pembohongan besar – Muhyiddin

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 11 Jan – Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan dakwaan dana kerajaan berjumlah RM92.5 bilion yang diselewengkan ketika pentadbirannya merupakan satu pembohongan besar.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu mendakwa, pembohongan yang dilakukan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) itu bersandarkan kepada cerita rekaan atas rekaan.

Beliau berkata, perbelanjaan fiskal di bawah pakej-pakej rangsangan ekonomi bukan dalam bentuk projek yang boleh diselewengkan, tetapi sebahagian besarnya adalah pemberian tunai langsung kepada rakyat (direct cash transfer) seperti Bantuan Prihatin Nasional (BPN), Geran Prihatin dan Subsidi Upah.

“Bagaimana dana ini boleh diseleweng jika ia merupakan pemberian tunai langsung kepada rakyat?

“Kutipan komisen 3%-5% daripada perbelanjaan fiskal ini juga adalah rekaan. Bagaimana saya boleh kutip komisen daripada perbelanjaan ini?

“Adakah 10.6 juta rakyat yang menerima BPN memberi komisen kepada saya? Adakah 2.96 juta pekerja yang menerima subsidi upah memberi komisen kepada saya? Tentu sekali tidak,” katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan melalui laman Facebooknya malam tadi.

Muhyiddin juga menjelaskan, tidak ada dana berjumlah RM4.5 bilion seperti didakwa PH dan BN dalam akaun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan akaun peribadinya.

Jelasnya, sebagai sebuah parti politik, BERSATU mempunyai dana hasil sumbangan pihak-pihak yang menyokong perjuangan parti tersebut.

“Akaun parti BERSATU diurus secara telus di mana setiap terimaan dan perbelanjaan direkod, diaudit dan dibentangkan dalam Perhimpunan Agung Tahunan mengikut kehendak perlembagaan parti dan Akta Pertubuhan 1966,

“Sumbangan untuk dana pilihan raya juga dimasukkan ke dalam akaun parti. Walaupun negara kita masih belum mempunyai undang-undang pendanaan politik, saya percaya setiap sumbangan yang diterima oleh BERSATU tidak menyalahi mana-mana undang-undang atau peraturan yang sedang berkuat kuasa,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan motif PH-BN melemparkan tohmahan dan mencari kesalahan PN secara berterusan, termasuk tahanan reman ke atas Timbalan Ketua BERSATU Segambut bagi tujuan siasatan berkaitan dakwaan penyelewengan dana RM92.5 bilion, yang turut dikaitkan dengan pihaknya.

“Jawapannya mudah. PH-BN takut dengan bayang-bayang sendiri. Mereka gelisah melihat PN mendapat sokongan sekurang-kurangnya 62 peratus masyarakat Melayu dan Bumiputera pada PRU15,

“Dengan tindakan BN bergabung dengan PH, sokongan kepada gabungan yang terbentuk atas pembohongan kepada pengundi ini akan lebih merosot, seperti yang terbukti pada PRK (Pilihan Raya Kecil) Padang Serai dan Tioman,” ujarnya.

Muhyiddin juga menjelaskan, beliau yakin dengan siasatan SPRM yang akan mendapati bahawa tohmahan terdapat RM4.5 bilion dalam akaun BERSATU atau akaun beliau adalah palsu.

“Saya tidak pernah mengambil walau satu sen pun wang yang bukan hak saya,

“Sehubungan itu, BERSATU akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada SPRM dalam menjalankan siasatan,” tambahnya lagi. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply