Home Politik PBM pecat Zuraida, 10 pemimpin lain

PBM pecat Zuraida, 10 pemimpin lain

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 28 Dis – Bekas Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin dan Setiausaha Agung Parti Bangsa Malaysia (PBM), Nor Hizwan Ahmad antara 11 individu yang digugurkan jawatan serta dipecat dari parti itu.

Selain Zuraida dan Hizwan, PBM juga memecat Naib Presiden 1, Rahimah Majid; Naib Presiden 2, Dr Sathiskumar; Naib Presiden 3, Muhammad Saiful Bahari Sahari; Ketua Pemuda, Na’im Brundage; dan Ketua Penerangan, Zakaria Abdul Hamid.

Unit Penerangan PBM dalam satu kenyataan memaklumkan, pengguguran kesemua anggota parti yang terlibat itu dibuat susulan kegagalan mereka memberi maklum balas kepada Jawatankuasa Disiplin PBM dalam tempoh 7 hari yang diberikan sebelum ini.

“Mereka telah diberi peluang untuk menjelaskan dan membela diri serta diberi tempoh 7 hari, akan tetapi telah gagal memberikan maklum balas kepada Jawatankuasa Disiplin Parti PBM,

“Maka dengan ini, demi kepentingan Parti PBM, Jawatankuasa Disiplin PBM telah membuat keputusan bahawa keahlian, jawatan individu-individu tersebut ditamatkan berkuat kuasa serta-merta pada 27 Disember 2022,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden 1, Haniza Mohamed Talha dan Ketua Wanita, Dr Daroyah Alwi yang turut menerima surat tunjuk sebab juga dipecat dari jawatan, namun kedua-duanya masih kekal sebagai ahli biasa.

Zuraida, Nor Hizwan dan Haniza sebelum ini antara individu menyelar Presiden PBM, Larry Sng dalam menguruskan parti termasuk tindakan memberi sokongan kepada kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada awal Oktober lalu, Perhimpunan Agung Tahunan PBM dikatakan membuat keputusan untuk Zuraida secara rasmi akan mengambil alih kepimpinan parti daripada Larry.

Keputusan Perhimpunan Agung Tahunan PBM itu kemudiannya diluluskan oleh mesyuarat Majlis Tertinggi parti itu namun Larry menyekat peralihan kuasa itu dan menegaskan beliau masih presiden parti menurut Jabatan Pendaftar Pertubuhan.

Beliau kemudian mengisytiharkan mesyuarat Majlis Tertinggi PBM yang meluluskan peralihan jawatan presiden kepada Zuraida tidak sah dan menggantung jawatannya sebagai pengganti dan 12 anggota parti lain. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply