Home Semasa Ketirisan data peribadi 5 juta penumpang, kakitangan Air Asia masih dalam siasatan – Fahmi

Ketirisan data peribadi 5 juta penumpang, kakitangan Air Asia masih dalam siasatan – Fahmi

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 10 Dis – Kementerian Komunikasi dan Digital mengesahkan siasatan lanjut mengenai insiden ketirisan data peribadi 5 juta penumpang dan kakitangan Air Asia sedang dijalankan.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, siasatan lanjut itu masih dijalankan bagi mengenal pasti punca pencerobohan dan impak keseluruhan insiden yang berlaku.

Bagaimanapun, beliau berkata, perincian berhubung kes tidak dapat didedahkan kepada umum buat masa ini sementara siasatan masih dijalankan bagi mengelakkan implikasi perundangan serta mengganggu siasatan.

“Kementerian Komunikasi dan Digital mengambil serius dakwaan berhubung insiden ketirisan data peribadi 5 juta penumpang dan kakitangan AirAsia akibat digodam oleh kumpulan penggodam yang dikenali sebagai Daixin,

“Sehubungan dengan itu, Pasukan Penyiasatan Kementerian Komunikasi dan Digital yang terdiri daripada Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) dan CyberSecurity Malaysia (CSM) telah memulakan siasatan dengan mengadakan perbincangan dengan pengurusan Capital A yang merupakan syarikat induk kepada AirAsia pada 1 Disember 2022,

“Siasatan awal mendapati serangan siber ke atas sistem pelayan AirAsia telah berlaku pada 12 November 2022 yang berpunca dari akses tanpa kebenaran mengakibatkan serangan perisian tebusan (ransomware), berpotensi menyebabkan kebocoran data,” jelasnya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Susulan daripada perbincangan itu, Fahmi menjelaskan, Capital A telah diarahkan untuk mengemukakan dokumen keterangan berserta bukti data berkomputer yang berkaitan dengan siasatan kes ini.

Selain itu, beliau turut menggesa semua Pengguna Data sentiasa memantau dan mempertingkatkan aspek keselamatan siber dari semasa ke semasa dengan memastikan infrastruktur sistem, pangkalan data serta rangkaian dikemas kini dan selamat.

“Pengguna Data hendaklah menggariskan polisi keselamatan siber dan memastikan polisi tersebut dipatuhi sebagai langkah bagi mengelakkan pencerobohan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,”tambahnya lagi.

Pada November lalu, media melaporkan data peribadi seramai 5 juta penumpang dan pekerja syarikat penerbangan tambang rendah itu didakwa mengalami kebocoran selepas digodam kumpulan penggodam dikenali sebagai Daixin.

Menerusi ciapan di Twitter, pemilik akaun @TheFuturizts mendakwa, kumpulan berkenaan berkongsi 2 fail yang mengandungi pelbagai butiran peribadi pekerja dan penumpang.

“Penggodam berlaku awal bulan ini. Fail pertama mengandungi maklumat penumpang, manakala yang kedua berkongsi butiran pekerja, seperti tarikh lahir, negara, alamat, tarikh pekerjaan, dan juga ‘soalan rahsia’ mereka dengan jawapan,

“Menurut jurucakap Daixin, Airasia menghubungi kumpulan itu untuk berbincang supaya mereka memadam semula data yang dikongsi tetapi gagal mencapai persetujuan mengenai bayaran,” jelas Daixin menerusi ciapnya.

Menurutnya, sebagai tindak balas, Daixin mengugut akan memuat naik semua data sulit AirAsia itu di internet.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply