Home Semasa Anwar sebagai Menteri Kewangan: Keadaan semasa luar biasa, beri pengecualian – Rafizi

Anwar sebagai Menteri Kewangan: Keadaan semasa luar biasa, beri pengecualian – Rafizi

by M.Daim

PUTRAJAYA, 5 Dis – Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menegaskan portfolio Menteri Kewangan wajar dipegang oleh Perdana Menteri pada ketika ini memandangkan pembentukan kerajaan sekarang adalah luar biasa.

Beliau menyatakan perkara tersebut semasa sidang media, hari ini. Menurut beliau, ia adalah satu keputusan sukar yang terpaksa diambil pada ketika ini.

“Situasi adalah luar biasa – kita berada dalam keadaan yang tidak ada mana-mana parti yang boleh membentuk kerajaan dan bergabung,

“Pada masa yang sama juga, kita memerlukan kepimpinan ekonomi yang kuat dan menjadi teras kepada program kerajaan,

“Jadi, pada pandangan saya, itu satu keputusan yang sangat sukar telah diambil sebenarnya,” katanya.

Beliau menjelaskan pembentukan Kerajaan Perpaduan baru-baru ini adalah berbeza dengan keadaan sebelum ini memandangkan tiada parti yang mampu untuk membentuk kerajaan.

Pada masa yang sama, Rafizi menegaskan beliau masih berpegang secara ideal bahawa jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan patut dipisahkan tetapi keadaan semasa adalah luar biasa.

“Situasi adalah luar biasa, kita berada dalam keadaan yang tidak ada mana-mana parti yang boleh membentuk kerajaan dan perlu bergabung,

“Pada masa yang sama juga, kita memerlukan kepimpinan ekonomi yang kuat dan menjadi teras kepada program kerajaan,” ujar beliau.

Tambahnya, keputusan untuk Perdana Menteri memegang portfolio Menteri Kewangan adalah jawapan terbaik bagi mengatasi sebarang masalah yang mungkin timbul di kalangan komponen gabungan.

“Bila kita ada gabungan-gabungan yang masing-masing membentuk kerajaan, sudah tentu setiap komponen mahu jawatan Menteri Kewangan di pihak mereka,

“Contohnya, ada orang daripada Pakatan Harapan (PH) jadi Menteri Kewangan pun, itu akan menjadi masalah kepada Barisan Nasional (BN). Kalau daripada BN akan jadi masalah kepada PH dan sebagainya,

“Oleh kerana situasi luar biasa ini, maka keputusan itu bagi saya sesuai buat masa sekarang,

“Iaitu senang, Perdana Menteri jadi Menteri Kewangan. Supaya tidak timbul isu tentang gabungan yang berbeza,

“Sebagai langkah ke hadapan, sudah tentu keadaan sekarang adalah pengecualian,” jelasnya.– airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply