Home PolitikBarisan Nasional Muhyiddin berhentilah meroyan, contohi DAP – Zahid Hamidi

Muhyiddin berhentilah meroyan, contohi DAP – Zahid Hamidi

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 5 Dis – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat seolah-olah terus meroyan dan lupa pelantikan Perdana Menteri serta barisan Kabinet adalah atas perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Muhyiddin perlu menghormati segala pelantikan ini dan tindakan mempertikaikannya mengambarkan wajah sebenar beliau yang tidak menghormati Institusi Raja-Raja Melayu.

“Muhyiddin seolah-olah terus meroyan apabila gagal dilantik sebagai Perdana Menteri dan tidak sampai 24 jam kabinet angkat sumpah Muhyiddin menuduh pembentukan kerajaan serta kabinet tertubuh atas penipuan terhadap mandat rakyat yang tidak mempunyai sebarang keabsahan untuk berfungsi sebagai badan eksekutif tertinggi negara,

“Muhyiddin lupa kuasa perlantikan Perdana Menteri ialah atas kuasa Baginda Yang di-Pertuan Agong yang diperuntukkan di bawah Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan,

“Muhyiddin perlu menghormati segala pelantikan ini dan tindakan Mahiaddin dan sekutunya yang cuba mempertikaikan segala pelantikan ini adalah gambaran wajah sebenar Mahiaddin dan sekutunya yang tidak menghormati institusi Raja-Raja Melayu,” katanya menerusi satu kenyataan di laman Facebooknya pada Ahad.

Pada Sabtu, Muhyiddin menyifatkan Kabinet Kerajaan Perpaduan yang ditubuhkan oleh Perdana Menteri adalah ‘paling mengecewakan dalam sejarah negara’ apabila seorang yang telah dipanggil membela diri terhadap 47 pertuduhan jenayah rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram di mahkamah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Tegasnya, tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu ibarat menjual maruah negara semata-mata kerana keinginannya menjadi Perdana Menteri.

Mengulas lanjut, Zahid berkata, Ahli Parlimen Pagoh itu serta sekutunya perlu berasa malu kerana dilihat terlalu gilakan kuasa hingga sanggup mempertikai keputusan institusi Raja-Raja Melayu.

Tambanya, mereka (PN) perlu mencontohi parti DAP yang lebih mementingkan kepentingan negara daripada kepentingan parti dan individu, bergerak ke hadapan demi menjayakan Kerajaan Perpaduan yang dicadangkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Muhyiddin dan sekutu perlu belajar menjadi pembangkang yang berwibawa dan bukannya merengek serta meroyan tidak dapat menerima hakikat beliau gagal menjadi Perdana Menteri dan gagal membentuk kerajaan,

“Belajarlah juga menghormati proses dan keputusan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu,” ujarnya lagi.

Zahid menegaskan, kerajaan ini bukan kerajaan Pakatan Harapan, akan tetapi ialah Kerajaan Perpaduan hasil daripada gabungan parti terbesar dan parti-parti kecil lain yang memenangi pilihan raya.

“Parti-parti ini bekerjasama untuk membina negara dan mentadbir lebih baik daripada kerajaan-kerajaan terdahulu,” jelasnya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!